Pengarah AC Milan, Massimiliano Mirabelli, mendedahkan kelab itu mahu menandatangani Pepe Reina dari Napoli yang bakal menjadi ejen bebas pada penghujung musim ini.

Pemenang Piala Dunia dan Euro, Reina, merupakan kunci kepada Napoli yang mendahului Serie A musim ini tetapi kontrak penjaga gol veteran Sepanyol itu bakal berakhir pada Jun ini.

Milan mengesahkan minat mereka terhadap penjaga gol berusia 35 tahun itu bagi menyelesaikan masalah berkaitan masa depan bintang muda, Gianluigi Donnarumma.

"Kami telah memberitahu kepada Napoli bahawa kami mahu berbincang dengan ejen Reina kerana kami mahu melihat kebarangkalian untuk membawa dia ke San Siro," kata Mirabelli.

"Kami sentiasa melihat kepada masa depan. Jika saya masih di sini, maka Gennaro Gattuso akan kekal di Milan. Beliau akan tetap ada bersama pasukan walaupun tanpa saya."

Donnarumma sudah menandatangani kontrak baru bersama Milan tetapi penjaga gol berusia 19 tahun itu telah dinasihatkan oleh ejennya, Mino Raiola, untuk meninggalkan Milan.

Paris Saint-Germain (PSG), Real Madrid dan Barcelona telah dikaitkan berminat mendapatkan khidmat penjaga gol Itali itu.