LIVERPOOL 2 SEVILLA 2

Jurgen Klopp menegaskan kegagalan skuadnya, Liverpool, untuk memanfaatkan peluang ketika seri 2-2 dengan Sevilla bukanlah satu penyakit.


The Reds tercicir dua mata dalam aksi pembukaan kempen Liga Juara-Juara, awal pagi tadi, selepas Roberto Firmino dan Mohamed Salah berjaya memadam jaringan awal Wissam Ben Yedder.

Namun, Firmino gagal menyudahkan sepakan penalti untuk menjadikan kedudukan 3-1 pada separuh masa pertama sebelum Joaquin Correa memastikan Sevilla meraih satu mata di Anfield.

Ditanya mengenai ketumpulan jentera serangan mungkin kembali menghantui mereka selepas mencipta 24 peluang gol berbanding lawan yang hanya memiliki tujuh peluang, Klopp -- yang kembali menurunkan Philippe Coutinho ketika permainan berbaki 15 minit -- berkata: "Jika kami kerap mencuba dan tidak menjaringkan gol, itu adalah masalah tetapi saya tidak fikir ia akan berlarutan.

"Selalunya, kami akan menjaringkan lebih banyak gol dalam keadaan seperti ini. Tiada siapa boleh menjaminnya. Kami sedar kami masih perlu meningkatkan lagi prestasi, namun ini bukanlah satu penyakit.

"Kami akan berusaha menajamkan serangan seperti mana kami berusaha memperbaiki beberapa perkara lain.

"Saya gembira dengan sebahagian besar corak permainan kami. Acap kali apabila pertemuan melibatkan dua pasukan yang bagus, ia akan berlangsung hambar, namun kali ini sebaliknya.

"Salah satu puncanya adalah kerana keinginan dan keterujaan pasukan saya.

"Kami memiliki lebih banyak peluang dan adalah penting kami membuat gerakan, malah ke atas sebuah pasukan yang tersusun bertahan.

"Beberapa pemain gagal mengekalkan corak permainan seperti babak pertama. Ia bukan soal fizikal, ia mengenai isu fokus. Kami sudah mengenal pastinya dan dalam proses untuk memperbaikinya.

"Perlawanan ini memberi pengalaman penting."

Dalam masa sama, Klopp gembira Coutinho kembali beraksi susulan permohonan pemain itu untuk berpindah ke Barcelona, baru-baru ini.