Jamie Redknapp percaya Antonio Conte akan menjadi pelantikan sempurna buat Tottenham sambil berharap pengurus Itali itu tidak akan menggunakan minat daripada Spurs sebagai batu loncatan untuk mendorong Manchester United mengatur langkah panik.

Semalam, Tottenham memecat Nuno Espirito Santo selepas empat bulan melantiknya dengan kontrak dua tahun sebagai pengurus selepas empat musim yang berjaya di Wolves.

Kekalahan 0-3 kepada United di tempat sendiri menyaksikan penyokong tuan rumah meluahkan kekecewaan mereka dan ia terbukti menjadi perlawanan terakhir Nuno di pucuk pimpinan.

Spurs dilaporkan berminat menawarkan jawatan itu kepada bekas bos Inter dan Chelsea, Conte, yang sebelum ini mereka buru tetapi tidak berjaya sebelum mengupah Nuno dengan kontrak selama 18 bulan.

Bekas pemain tengah Spurs, Redknapp, yakin Conte mempunyai kualiti yang diperlukan buat kelab London itu tetapi berharap pelantikannya tidak akan mendorong United daripada mengambil tindakan drastik.

Bekas jurulatih Itali itu juga telah dikaitkan dengan kerusi panas di Old Trafford di mana penyandangnya, Ole Gunnar Solskjaer, sedang berada di bawah tekanan besar sebelum kemenangan ke atas Spurs.

"Conte akan menjadi pengurus yang sempurna buat mereka," kata Redknapp kepada Sky Sports.

“Saya pasti ramai peminat Tottenham akan gembira dengan Conte -– dia adalah pengurus kelas pertama dan seorang juara, dia telah melaksanakan satu tugas yang luar biasa bersama Chelsea dan Inter Milan, jadi dia tahu situasi ini.

"Spurs perlu berhati-hati agar Conte tidak mempermainkan mereka demi menyertai Manchester United, jadi ia akan menjadi beberapa hari yang menarik."







Dia menambah: "Saya tidak faham mengapa selepas empat bulan mereka mahu menagih khidmatnya sedangkan ia tidak dapat dicapai empat bulan lalu.

“Wujud masalah mengenai bajet perpindahan dan dia juga tidak bersetuju dengan apa yang Daniel Levy mahu lakukan dengan kelab.

“Apabila anda mempunyai pengurus seperti Conte, anda perlu memberinya lesen untuk mendapatkan pemain yang dimahukannya dan bermain dengan sistem yang mahu diterapkannya. Anda tidak boleh campur tangan, dia mahu melakukan segala perkara mengikut kehendaknya.

"Dia pernah bekerjasama dengan Pengarah Bola Sepak Tottenham, Fabio Paratici, di Juventus sebelum ini, jadi ia penting kerana mereka perlu bekerjasama. Mereka perlu bergerak ke arah yang sama, jika tidak ia boleh menjadi bencana.

"Tottenham adalah bahan ketawa bola sepak ketika ini, di luar padang mereka dicemburui semua orang kerana memiliki stadium dan tempat latihan yang hebat, tetapi mereka membuat banyak kesilapan di barisan lembaga."