Kelemahan Manchester United sekali lagi jelas terserlah apabila tewas dengan agregat 2-1 kepada Atletico Madrid, sekali gus memadamkan harapan terakhir mereka untuk menjulang piala musim ini.

United memulakan perlawanan peringkat kedua pusingan 16 Liga Juara-Juara semalam dengan semangat membara setelah sentuhan magis hatrik Cristiano Ronaldo membantu mereka untuk mencapai kemenangan ke atas Tottenham Hotspur beberapa hari lalu.

Dalam temu bual pasca perlawanan menentang Tottenham itu, ada wartawan yang bertanyakan pengurus United, Ralf Rangnick, "Adakah dengan kemenangan ini, United mampu untuk memenangi trofi Liga Juara-Juara Eropah pula?"

Rangnick hanya mampu ketawa sebagai jawapan, namun besar lagi ketawa kesemua peminat bola sepak ketika ini.

Dalam perlawanan menentang Atletico, sewaktu skor masih terikat dengan agregat 1-1, United kelihatan mantap -- pemain muda Anthony Elanga melakukan larian berbahaya secara berterusan dan turut menghaslkan percubaan untuk menguji penjaga gol pelawat, Jan Oblak.

Pemain tengah United, Fred, pula dilihat tidak henti-henti berlari ke seluruh kawasan padang, melakukan terjahan dan menunjukkan kemahiran yang jarang sekali dilihat sebelum ini.

Namun, tiba minit ke-41, serangan balas Atletico menyebabkan barisan pertahanan United kucar-kacir sehinggakan kawasan sebelah kiri pintu gawang dibiarkan kosong dan membolehkan pemain bek Atletico, Renan Lodi, melakukan tandukan cukup mudah dari jarak dekat -- gol pendahuluan merangkap gol kemenangan buat Atletico.



Bermula dari detik itu, kembalilah semula persembahan United yang sudah acapkali dilihat musim ini -- United yang keliru dan tak keruan.

Bruno Fernandes dan Ronaldo melakukan larian ke mana-mana sahaja mereka mahu, memecahkan formasi.

Scott McTominay memilih untuk berundur, Fred pula terus mara ke hadapan, menyebabkan satu lubang besar tercipta di kawasan tengah -- sebesar tanda soal yang ditanyakan oleh kesemua penonton.

Apa yang sedang berlaku, United?

Menurut statistik dari laman sesawang Uefa.com, perlawanan semalam sebenarnya didominasi oleh United secara menyeluruh -- penguasaan bola setinggi 59 peratus dan sebanyak 12 percubaan dilakukan secara keseluruhan.

Namun, tidakkah United sedar bahawa taktik bertahan dan menyerang balas, di samping bermain kotor demi membuatkan pihak lawan hilang fokus, merupakan kepakaran khas Atletico?

Pengurus mereka, Diego Simeone, pernah menjadi tumpuan ramai lebih dari 20 tahun lalu gara-gara berjaya mengumpan David Beckham untuk dibuang padang sewaktu Piala Dunia 1998.



Dengan gol yang diperoleh, Atletico memilih untuk bertahan sepenuhnya dan mengalu-alukan sebarang percubaan -- mungkin kerana mereka yakin dengan barisan pertahanan mereka, mungkin juga kerana mereka tahu barisan serangan United tidak cukup tajam untuk membolosi gawang.

Seperti yang sudah dibicarakan berulang-ulang kali, sewaktu United hilang arah, apa yang mereka mampu harapkan hanyalah sentuhan ajaib mana-mana pemainnya untuk menjadi penyelamat.

Ronaldo menghadirkan sentuhan ajaib tersebut sebanyak tiga kali sewaktu menentang Tottenham, namun pertahanan Atletico menyebabkan CR7 akhirnya tenggelam.

Sehebat-hebat pengurus United, Rangnick daripada segi taktikal, dia hanya mampu menggaru kepala kehairanan pada akhirnya.

Di sebalik segala yang berlaku, rumusannya cukup ringkas tetapi perit -- United telah memberikan usaha terbaik, namun hakikatnya mereka tidak cukup bagus.

United bukan lagi pasukan elit yang mampu memberikan cabaran getir terhadap mana-mana pihak lawan -- tidak dalam Liga Perdana Inggeris, sememangnya tidak di pentas Eropah.

Satu percubaan yang wajar diberikan pujian, namun tiada hasilnya.

Harapan cukup tinggi untuk mengembalikan kegemilangan disasarkan pada awal musim tetapi apa yang tinggal kini hanyalah perjuangan merebut tangga keempat liga.

The Red Devils telah tumbang.