Ante Rebic meluahkan "sangat gembira berada di sini" selepas bintang Eintracht Frankfurt itu mengesahkan menyertai AC Milan.

Rebic berkelana ke Itali untuk menyertai Milan secara pinjaman, dengan Andre Silva pula menyertai Frankfurt.

Pemain kebangsaan Croatia itu, yang terlepas kemenangan 2-1 ke atas Fortuna Dusseldorf dalam saingan Bundesliga, tiba di Milan semalam.

"Saya sangat gembira berada di sini. Forza Milan," kata Rebic.

Rebic telah dikaitkan dengan Inter sepanjang jendela perpindahan kali ini tetapi bekas penyerang Fiorentina itu -- yang tiba di Frankfurt dari La Viola pada 2016 -- sudah tiba ke Itali untuk bersama Milan.

Pemain berusia 25 tahun itu, yang merupakan sebahagian daripada pasukan Croatia yang mara ke final Piala Dunia 2018, menjaringkan 10 gol dalam semua kejohanan musim lalu.

Rebic meledak sembilan gol dalam saingan Bundesliga bersama bekas rakan sepasukan, Luka Jovic dan Sebastien Haller, yang meninggalkan Jerman untuk menyertai Real Madrid dan West Ham sebelum musim baru bermula.

"Ante Rebic akan menyertai AC Milan manakala Andre Silva bakal bersama kami," kata jurulatih Frankfurt, Adi Hutter.

"Ia merupakan hajat Rebic untuk menyertai kelab yang besar dan setiap pihak yang terlibat akur dengan situasi ini."