Pemain tengah Real Madrid, Casemiro, menyifatkan jentera serangan pasukannya tidak mempunyai masalah walaupun jika gagal mendapatkan khidmat penyerang sensasi Monaco, Kylian Mbappe.

Mbappe dikaitkan dengan perpindahan ke Santiago Bernabeu selepas mengharungi musim yang hebat di bawah kendalian Leonardo Jardin apabila mencatatkan 26 gol dalam semua kejohanan yang disertai.

Akhbar Sepanyol, Marca, melaporkan satu bidaan berjumlah EUR180 juta (RM897 juta) telah dipersetujui di antara Madrid dan juara Ligue 1 itu, sekaligus menyaksikan satu yuran perpindahan yang memecahkan rekod dunia milik pemain Manchester United, Paul Pogba.

Bagaimanapun, perkara itu dinafikan oleh Monaco dan Casemiro sendiri menganggap bahawa skuad Los Blancos tidak memerlukan pemain Perancis itu kerana sudah memiliki jentera serangan yang mantap ditunjangi oleh Cristiano Ronaldo.

“Ini adalah perkara yang diperkatakan oleh semua orang di luar kelab.

“Kami sedar akan kehebatan serta bakat yang dimiliki Mbappe, namun dalam masa sama kami memiliki trio BBC (Benzema, Bale, Cristiano) yang mampu mencipta satu fenomena.

“Mbappe bukan pemain Real Madrid, jadi saya tidak boleh bercakap banyak mengenai pemain yang bukan daripada pasukan kami,” kata Casemiro.

“Jika ramai pemain menyertai kami, ia pastinya lebih baik tetapi kini kami telah memiliki pemain terbaik dunia (Ronaldo),” tambahnya.