ATLETICO MADRID 0 REAL MADRID 0

Zinedine Zidane berpendapat Real Madrid beraksi cukup baik untuk memenangi pertemuan El Derbi menentang Atletico Madrid, awal pagi tadi.


Real mencipta peluang terbaik dalam aksi di Wanda Metropolitano itu sambil Jan Oblak menampilkan aksi terbaik menafikan tandukan Karim Benzema ketika permainan berbaki 15 minit.

Satu mata cukup untuk membawa skuad bimbingan Zidane itu mengatasi pasukan yang mengejutkan LaLiga musim ini, Granada, untuk berada di puncak liga tetapi pengendali Perancis, Zidane, mengharapkan sesuatu yang lebih baik daripada aksi itu.

"Kami layak menerima sesuatu tetapi saya harus ucapkan tahniah kepada pemain kerana kami diberi sokongan penuh dan memastikan gawang tidak dibolosi," katanya.

"Ia bukan sekadar mengenai prestasi tetapi apa yang penting adalah kekuatan kami. Kami melihat Real yang kuat kerana tidak memberikan lawan peluang. Kami kurang kreatif tetapi gembira dengan apa yang dilakukan."

Eden Hazard mengharungi satu lagi aksi yang hambar tatkala penggempur Belgium itu gagal mencipta sebarang percubaan sebelum digantikan James Rodriguez pada minit ke-77.

Zidane mengakui Hazard -- yang menyertai Los Blancos daripada Chelsea, Jun lalu menerusi yuran perpindahan EUR168 juta (RM770 juta) -- masih perlu mengharungi perjalanan jauh sebelum mencapai prestasi seperti di kelab lama.

"Dia kekurangan banyak perkara. Kami perlu bersamanya. Dia menjalankan tugas dengan baik tetapi kami tidak berpeluang," tambah Zidane.

"Kami perlu melihat usaha setiap pemain. Kami gembira untuk melihatnya menjaringkan gol kerana ia akan membebaskannya tetapi tiada sebarang masalah, ia akan datang."

Zidane turut memuji kapten pasukan, Sergio Ramos, selepas menikmati aksi ketiga liga tanpa dibolosi.

"Aksi berdepan Atletico sememangnya melibatkan aspek fizikal yang ketara," ujar Ramos.

"Ia merupakan salah sebuah stadium yang sukar sepanjang musim dan penting untuk tidak dibolosi.

"Namun, di bahagian serangan, sukar untuk mencipta peluang kerana ruang tidak banyak diberikan. Satu mata tidak memberikan banyak makna kerana kami mahukan kemenangan.

"Aspek pertahanan adalah sesuatu yang kami usahakan. Segalanya baik dan kami menikmati aksi ini."

Los Blancos akan kembali beraksi di laman sendiri menentang Club Brugge dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah sebelum melayan kunjungan Granada dalam saingan LaLiga, Sabtu ini.