Presiden Real Madrid, Florentino Perez, mengakui pasukan gergasi Sepanyol dan Eropah itu berminat melihat bintang Barcelona, Lionel Messi, di Bernabeu.

Pemain berusia 29 tahun itu telah pun mengesahkan statusnya antara pemain terbaik dunia sejak membuat kemunculan daripada akademi La Masia pada tahun 2004, memenangi anugerah Ballon d'Or sebanyak lima kali di samping membantu Barcelona meraih lapan kejuaraan LaLiga dan empat kejuaraan Liga Juara-Juara.

Perez berkata ia bagaikan mimpi jika dapat membawa Messi ke Santiago Bernabeu seandainya Barca tidak merekrut pemain itu seawal usia 13 tahun.

"Sudah tentu kami mengimpikan Messi untuk beraksi di Madrid," Perez memberitahu Onda Cero.

"Tetapi dia berada dalam sistem akademi Barcelona, jadi perkara itu tidak akan berlaku sama sekali!"

Messi sekali lagi menampilkan aksi terbaiknya bagi musim 2016-17 apabila menyumbat 54 gol dalam semua kejohanan meskipun tewas kepada Real Madrid dalam perebutan LaLiga di samping terkandas di peringkat suku akhir Liga Juara-Juara.