Real Madrid berminat untuk menandatangani David Alaba dari Bayern Munich, kata bapa yang juga ejen kepada pemain berkenaan.

Alaba menghabiskan sebahagian besar tempoh kariernya di Bayern -- selain dipinjamkan ke Hoffenheim -- untuk memenangi tujuh gelaran Bundesliga di kelab itu.

Pemain serba boleh kelahiran Austria itu sudah lama dikaitkan dengan Madrid dan dalam satu temubual pada Mac lalu, dia mengakui bersedia untuk menerima "cabaran baru".

Bapa kepada pemain berusia 25 tahun itu, George, mengatakan perpindahan ke finalis Liga Juara-Juara itu hampir pasti berlaku.

"Semua orang tahu bahawa Real Madrid benar-benar berminat dengan David," kata George Alaba kepada AS. "Tetapi kami tidak boleh katakan apa-apa lagi sekarang.

"Kami akan lihat apa yang berlaku pada musim panas nanti. Sekarang bukan saatnya untuk membincangkan siapa yang berminat dengannya.

"Semua sudah tahu minat Madrid, ia bukan rahsia. Tapi sekarang tiada apa yang perlu dikatakan. Dia perlu tunggu dan lihat pada akhir musim ini," tambahnya.