Pemain Real Madrid, Marco Asensio, menyifatkan pasukannya jelas sebuah pasukan yang lebih baik dan berhak untuk memenangi Piala Super Sepanyol.

Madrid menewaskan Barcelona 3-1 dalam perlawanan pertama Piala Super Sepanyol sebelum menang 2-0 dalam aksi timbal balik dan Asensio menjaringkan gol dalam kedua-dua pertemuan.

Selepas menjaringkan gol menarik ketika aksi di Camp Nou, Asensio sekali lagi mencipta kejutan apabila melakukan rembatan jarak jauh menewaskan Marc-Andre ter Stegen.

“Dua gol yang saya jaringkan adalah sesuatu yang menarik dan saya akan sentiasa mengingatinya,” katanya.

“Penyokon mempamerkan sokongan yang tinggi dan kami mahu menghadiahkan mereka dengan trofi.

“Kami bermain di laman sendiri dan berjaya mencipta peluang. Jelas sekali kami menunjukkan kualiti bola sepak yang lebih baik,” tambah Asensio.

Real Madrid bakal membuka tirai LaLiga musim 2017/18 menentang Deportivo La Coruna pada Ahad ini.