Pertahanan Selangor, Razman Roslan, serta penjaga gol, Khairul Azhan Khalid, enggan membiarkan memori manis pada 2014 bersama Pahang mempengaruhi emosi mereka untuk aksi final Piala FA menentang skuad Tok Gajah di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam esok.

Razman, Khairul Azhan dan Azamuddin Akil merupakan tiga pemain Selangor yang membarisi skuad Pahang, empat tahun lalu.

Ketika itu, Pahang di bawah bimbingan Zainal Abidin Hassan meraih gelaran Piala FA apabila menewaskan Felda United 2-1 dalam final.

Tatkala Razman cemerlang bertindak selaku kapten, Khairul Azhan pula tangkas mengemudi benteng terakhir sambil Azamuddin selaku penggempur utama pasukan.

Bagaimanapun, ketiga-tiganya akan menjadi musuh skuad Tok Gajah dalam perlawanan akhir di Bukit Jalil, malam esok.

"Bagi saya, ia memang menjadi kenangan manis ketika bersama Pahang tetapi kali ini saya mewakili Selangor. Kami akan cuba mendapatkan semula trofi yang kali terakhir dijulang pada 2009," kata Razman.

"Peluang Selangor untuk meraih kejuaraan Piala FA adalah seimbang. Dalam aksi final, siapa yang bermain baik dan mencatat jaringan akan muncul pemenang," tambah Khairul Azhan.

Razman, yang memburu kejuaraan Piala FA yang keempat selepas meraihnya pada 2005, 2009 dan 2014, dijangka membarisi kesebelasan utama bagi menggantikan William Pachecho yang terpaksa diketepikan ekoran kecederaan sementara Khairul Azhan sekali lagi bakal diberi kepercayaan untuk menggalas tugas di gawang dalam penampilan keduanya di pentas final.