Pertahanan Selangor, Razman Roslan, sedia kembali menggalas tugas di benteng skuad Gergasi Merah bagi pertemuan menentang PKNP FC di Stadium Batu Kawan malam ini susulan kehilangan tonggak utama, Willian Pacheco.

Kali terakhir Razman membarisi kesebelasan utama Selangor ialah ketika perlawanan Piala FA menentang Kuala Lumpur, 21 April lalu.

Gagal menyerlahkan aksi terbaiknya, dia yang kemudian ditimpa kecederaan diketepikan dalam empat perlawanan dengan Selangor menampilkan gandingan berbeza di posisi itu.

Selepas tidak beraksi selama sebulan, dia kini berpeluang untuk membuat kemunculan semula susulan Pacheco digantung satu perlawanan.

"Dah tentu ketiadaan Pacheco sedikit-sebanyak mengganggu persiapan pasukan.

"Saya pasti pemain yang diturunkan pasti akan menjalankan tanggungjawab dengan baik," katanya.

Dalam pertemuan terakhir kedua-dua pasukan, Selangor dinafikan kemenangan setelah PKNP bangkit menyamakan kedudukan 1-1 pada lewat permainan hasil jaringan Hafiz Ramadan.

Meskipun tidak beraksi ketika itu, Razman enggan perkara sama berulang, sekali gus menuntut komitmen semua pemain yang akan diturunkan.

"Pertemuan dengan PKNP perlu dijadikan pengajaran kerana kami dihukum pada penghujung permainan.

"Saya harap kami tidak ulangi kesilapan sama dan memperbaiki pasukan," katanya lagi.