Kapten Selangor, Mohd Razman Roslan, tidak berselindung dengan hajatnya untuk menjadi seorang jurulatih selepas kerjayanya selaku pemain berakhir.

Menurutnya, perancangan ke arah itu sudah lama dibuat memandangkan dia melihat bidang tersebut adalah kerjaya terbaik untuknya terus berkhidmat dalam dunia bola sepak.

"Kalau tidak salah saya 10 tahun lalu. Pada masa itu, saya sudah empat, lima tahun bemain bersama Selangor.

"Jadi, saya nampak bidang kejurulatihan ini adalah kesinambungan kepada kerjaya saya sebagai pemain," katanya dalam satu temubual menerusi [email protected] hari ini.

Mengulas lanjut mengenai keputusannya itu, Razman berkata jurulatih, Ismail Ibrahim, Dollah Salleh dan Zainal Abidin Hassan menjadi sumber inspirasinya selama ini.

"Jurulatih pertama saya ialah Ismail Ibrahim seterusnya Dollah Salleh dan Zainal Abidin Hassan. Merekalah yang menjadi sumber inspirasi saya untuk saya menjadi jurulatih selepas selesai bergelar pemain nanti.

"Sebagai pemain, kita mendengar atau mengikut apa yang jurulatih mahukan. Apabila menjadi jurulatih pula, kita perlu sampaikan apa yang kita mahukan dan penyampaian kita juga perlu betul. Sebagai jurulatih juga, kita perlu tahu apa yang pemain mahukan dan apa yang mereka tidak suka," ujarnya.

Tambah Razman, dia banyak mendapat nasihat daripada Allahyarham Razali Alias yang juga bekas jurulatih kelahiran Singapura, ketika pernah bekerjasama di Selangor.

"Saya masih ingat Alahyarham Razali Alias pernah pesan kepada saya, dalam bola sepak latihan adalah paling penting. Apabila berlatih, latihannya akan keras dan pemain perlu hadapi.

"Kalau saya menjadi jurulatih suatu masa nanti, saya akan cakap perkara yang sama," katanya lagi.

Selangor akan memulakan kempen Liga Super musim ini dengan menentang Kuala Lumpur di Stadium Kuala Lumpur, Cheras, esok.