Arsenal gagal dalam rayuan agar kad merah ke atas David Luiz dalam kekalahan 1-2 kepada Wolves, kelmarin, ditarik balik.

Pertahanan veteran itu diperintahkan keluar padang beberapa saat sebelum rehat dalam pertembungan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Molineux itu selepas pengadil, Craig Pawson, meneliti video bantuan pengil (VAR) lalu menghakimi terjahan David Luiz ke atas Willian Jose.

Ruben Neves kemudian memanfaatkan sepakan penalti itu bagi memadam jaringan pembukaan Nicolas Pepe sebelum Joao Moutinho mencetak gol kemenangan yang menyaksikan The Gunners terpaksa mengakhiri permainan dengan sembilan orang selepas penjaga gol, Bernd Leno, turut menerima padah dibuang padang.




Pengurus Arsenal, Mikel Arteta, mengesahkan pasukannya telah mengemukakan rayuan itu sebelum ditolak Persatuan Bolasepak (FA). Ini bermakna David Luiz akan terlepas aksi bertemu Aston Villa malam esok.

Satu kenyataan Arsenal berbunyi: "FA mengesahkan bahawa kad merah David Luiz ketika menentang Wolverhampton Wanderers adalah kekal.

"Kami telah bekerja keras untuk membatalkan kad merah itu. Kami telah mengemukakan rayuan kepada FA tetapi kecewa kerana ia tidak berjaya.

"Kami akur dengan keputusan FA itu dan akan meneruskan persiapan kami menentang Aston Villa."

Southampton menikmati sedikit berita gembira selepas dimalukan 0-9 di Manchester United, apabila FA membatalkan kad merah yang dilayangkan kepada Jan Bednarek.

Pertahanan itu diarah meninggalkan padang oleh pengadil, Mike Dean, atas pelanggaran dengan Anthony Martial ketika di kedudukan 0-6.

Selepas perlawanan itu, The Saints menafikan laporan bahawa mereka secara rasminya telah meminta Dean dan pegawai keempat, Lee Mason, supaya tidak lagi terlibat dalam perlawanan membabitkan mereka.

Bednarek, bagaimanapun, bebas diturunkan ketika Southampton berhasrat untuk bangkit di Newcastle United, hujung minggu ini.