Kapten Sabah, Rawilson Batuil, berharap penyokong pasukan itu akan membanjiri Stadium Likas, seterusnya menjadi 'pemain ke-12' bagi membantu mereka menghadapi Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam aksi pusingan kedua Piala FA, malam ini.

"Saya harap penyokong kami akan turun beramai-ramai membanjiri stadium, seterusnya menjadi 'pemain ke-12' untuk membantu kami.

"Mereka (JDT) bukan calang-calang pasukan, kami perlu lebih daripada bekerja keras, termasuk mengharapkan penyokong membantu meningkatkan semangat kami," katanya ketika dihubungi, di Kota Kinabalu, hari ini.

Sementara itu, pemain pertahanan berusia 24 tahun itu berkata dia dan rakan sepasukannya tidak gentar sama sekali bertemu JDT walaupun kebanyakan mereka kali pertama berdepan dengan pasukan Harimau Selatan itu.

Katanya, perasaan menghadapi JDT sedikit berlainan berbanding perlawanan lain, bukannya takut tetapi semangat mereka semakin memuncak untuk mencipta kejutan.

"Kami akan bekerja keras dan bermain mati-matian bertemu JDT malam ini. Ini adalah aksi pertama saya bertemu dengan pasukan JDT, begitu juga dengan kebanyakan rakan-rakan lain tetapi itu bukan bermakna kami 'segan' bertemu dengan mereka," katanya.