Marcus Rashford mengakui bahawa dia cuba menikmati aksi bola sepak secara bebas ketika membantu England menundukkan Costa Rica 2-0 dalam aksi persahabatan, awal pagi tadi.

Penggempur Manchester United itu digandingkan bersama Jamie Vardy di barisan depan The Three Lions dan hanya memerlukan 13 minit untuk mencatat jaringan pertama dalam aksi di Elland Road.

Penampilan pemain berusia 20 tahun itu nyata berbeza berbanding persembahan ketika bersama United tahun ini, selepas jarang mendapat perhatian pengendali, Jose Mourinho.

Dia berpendapat bahawa aksinya pada hari ini adalah hasil bantuan daripada pendekatan yang dilakukan dalam pasukan.

"Apabila anda berlatih dengan gigih, meraih peluang di dalam perlawanan, itu adalah ganjaran yang anda terima," kata Rashford.

"Saya gembira dengan aksi dan keputusan pada hari ini. Kami berada dalam keadaan yang terbaik.

"Saya hanya cuba bermain secara bebas dan menikmati permainan. Ia adalah latihan sempurna yang anda perlukan sebelum beraksi dalam kejohanan."

Dalam masa sama, penampilan hebat Rashford juga telah menarik perhatian pengurus pasukan, Gareth Southgate, sambil mengakui bahawa penggempur muda itu kehilangan keyakinan apabila terpaksa beraksi sebagai penyerang utama United pada penghujung musim ini.

"Apa yang menggembirakan saya adalah Rashford menikmati aksi bola sepaknya.

"Persembahannya sangat menarik. Ia adalah jaringan yang hebat dan dia juga bekerja keras buat pasukan.

"Rashford mengharungi kesukaran menuju akhir musim, terpaksa bertindak selaku penyerang utama beberapa kali. Kadangkala, kita terlupa tentang usia sebenarnya," ujar Southgate.