Penjaring gol kemenangan Manchester United ketika menundukkan Newcastle United 2-0 awal pagi tadi, Romelu Lukaku dan Marcus Rashford, memberi pujian kepada pengendali sementara, Ole Gunnar Solskjaer, di atas kesan yang diberikannya kepada pasukan.

Perlawanan buntu tanpa sebarang gol sehingga kemasukan Lukaku dan penyerang Belgium itu meraih sentuhan pertama dengan tindakan susulan daripada sepakan percuma Rashford yang gagal ditampan kemas oleh penjaga gol Newcastle, Martin Dubravka.

Penyerang England, Rashford, kemudian mempamerkan kecemerlangan untuk menyudahkan serangan balas ketika aksi berbaki 10 minit.

Keputusan itu bermakna Solskjaer meraih empat kemenangan daripada empat perlawanan, menyamai rekod yang dipegang oleh legenda United, Sir Matt Busby.

Solskjaer, yang menjadi pemain kegemaran peminat United ketika bergelar pemain menyarung jersi The Red Devils, menjanjikan aksi menyerang seperti yang dilalui sewaktu era kegemilangan United dan Rashford gembira dengan usaha itu.

"Itu adalah kunci utama, kami tidak berpeluang melakukan usaha sebenar tetapi kata-kata di sekeliling menjadikan ia berbeza," kata Rashford.

"Saya mahu terus meningkat dan berkembang. Saya rasa usaha keras adalah kunci utama, termasuk kesabaran.

"Lawan sukar untuk dijinakkan. Apabila kami cuba melakukan serangan balas, mereka dilihat terbuka dan kami perlu membuat keputusan.

"Ia memerlukan masa yang lebih lama tetapi akhirnya kami dapat lakukan."

Sementara itu, Lukaku, yang menyempurnakan peluang hasil boleh muntah daripada sepakan percuma Rashford, turut menikmati kehidupan di bawah bimbingan Solskjaer.

"Anda perlu bersedia. Itu yang dipesan oleh pengurus sebelum perlawanan dan saya gembira dapat membantu pasukan dan kembali ke landasan kemenangan," ujarnya.

"Saya tahu dengan teknik tendangan yang dilakukan Rashford, penjaga gol akan teragak-agak.

"Dia melakukannya sekali dalam babak pertama dan saya sedia untuk mengaut peluang di waktu yang tepat."

"Ia ternyata berbeza. Saya rasa kami berdua serta Anthony Martial dan semua pemain banyak belajar daripada Solskjaer, terutama di bahagian serangan.

"Dia cuba membantu kami untuk menjadi lebih baik. Setakat ini, ia bagus dan kami perlu meneruskannya," tambah Lukaku.