Rashford ikrar imbangi aktiviti luar padang, karier

Shaiful Shamsudin
Oktober 14, 2020 00:29 MYT
Marcus Rashford sedia mempertimbangkan pendekatan berbeza dalam usahanya membantu anak-anak yang kurang bernasib jika dia berasakan ia boleh menjejaskan prestasi.
Rashford, yang menerima penghormatan MBE atas kempen yang dijalankan, optimis mampu mengimbangi misi di luar padang dengan tugasannnya bersama England dan Manchester United.
Tindakan pemain berusia 22 tahun itu menyuarakan kemelut kemiskinan yang menghimpit kanak-kanak di Britain dengan mengusahakan program bantuan makanan ketika krisis COVID-19 ini mendorong kerajaan Inggeris untuk memberikan baucar makan sekolah percuma kepada anak-anak yang kurang berkemampuan sepanjang musim panas lalu.
Ditanya mengenai usahanya itu dalam sebuah sidang media menjelang perlawanan England awal pagi esok, Rashford menjelaskan bahawa kempen berkenaan tidak semuanya dikendalikannya sendiri.
"Saya mempunyai pasukan yang bekerja di belakang saya dan saya memastikan niat kami adalah seiring. Banyak kerja yang dilakukan dalam tempoh beberapa bulan lalu. Saya rasa adalah penting untuk terus melakukannya," katanya.
"Pada masa ini, saya berasa minda saya dalam keadaan yang baik. Saya selesa melakukan dua perkara serentak dan bersedia untuk berlatih setiap hari dan diturunkan.
"Jika ia menjejaskan prestasi, maka saya harus melihat kepada kaedah lain untuk melakukan sesuatu dan mencari jalan untuk terus menyokong kanak-kanak selain memastikan karier saya meniti ke arah yang tepat."
England akan berdepan Denmark di Wembley dalam Liga Negara-Negara (UNL) awal pagi esok dan berhasrat meneruskan momentum kemenangan ke atas Belgium dan Wales.
Dua kemenangan bersama England ditambah dengan pengiktirafan dalam Hari Keputeraan Ratu itu, ia sekali gus menjadi "beberapa hari yang baik" buat Rashford yang kecewa terlepas perlawanan menentang Iceland dan Denmark bulan lalu akibat masalah pergelangan kaki.
Dia perlu bersaing dengan pemain seperti Jadon Sancho dan Raheem Sterling untuk membarisi kesebelasan utama dalam misi Euro 2020 yang ditangguhkan hingga tahun depan sambil mengatakan persaingan dalam skuad England itu adalah sihat.
"Kami bersatu terutama untuk menghadapi kejohanan," katanya.
"Saya sangat menyukai Piala Dunia, kami memerlukan pemain untuk melakukan perkara-perkara yang hebat. Oleh itu, kami mempunyai ramai pemain lincah yang mampu membuat perbezaan di atas padang."
#Marcus Rashford #England #UNL