Marcus Rashford memuji kemampuan Paul Pogba selaku perancang selepas kombinasi dua pemain itu membolehkan Manchester United mencatat kemenangan 1-0 ke atas Leicester City di tempat lawan, lewat malam tadi.

Penyerang England, Rashford, melakukan penampilan ke-100 liga buat United dan menyumbat gol tunggal perlawanan di Stadium King Power setelah menyambut bola lambungan Pogba sebelum menewaskan Kasper Schmeichel.

Pogba, pemenang Piala Dunia 2018, kini telah mencatat enam jaringan dan lima bantuan gol dalam lapan perlawanan di bawah kendalian pengurus sementara, Ole Gunnar Solskjaer, tatkala dia tampak memainkan peranan lebih bebas selepas pemecatan pengendali sebelum ini, Jose Mourinho.

Dan Rashford mendedahkan dia sudah menjangka persembahan hebat Pogba apabila pemain tengah itu diberi kebebasan untuk lebih banyak mara ke depan ketika menyerang.

"Berulang kali Pogba memberikan peluang buat pasukan dan itu yang kami mahukan daripadanya," kata Rashford kepada Sky Sports.

"Jika kami dapat memberikan kebebasan yang secukupnya buat dia, Pogba akan melakukan hantaran sebegitu sepanjang masa. Dia akan mencari anda."

United bangkit daripada ketinggalan 0-2 ketika berdepan Burnley di laman sendiri minggu lalu dan mempamerkan semangat sama untuk mengekang Leicester di tempat lawan walaupun menghadapi tekanan dalam babak kedua.

"Kami berusaha keras dan cuba meningkatkan prestasi," tambah Rashford.

"Keputusan sebelum ini bukan sesuatu yang kami mahukan. Kami perlu meningkat.

"Ia satu aksi dan cabaran yang berbeza tetapi sangat sukar. Jadi, bagus buat kami meraih kemenangan."

Rashford menyinar di bawah bimbingan Solskjaer selaku penyerang tengah setelah kerap diletakkan di bahagian sayap oleh Mourinho tetapi penggempur England itu menegaskan penting untuk dia berupaya beraksi di mana-mana posisi serangan.

"Hari ini, saya tidak rasa ada pemain yang mahu berkembang hanya sebagai penyerang," ujar Rashford.

"Permainan sudah berubah. Anda mahu beraksi baik tidak kira sebagai penggempur tengah, kiri, kanan atau selaku penyerang kedua. Apa yang berlaku dalam karier saya setakat ini membolehkan saya melakukannya."