Marcus Rashford menyifatkan kecederaan yang dialami sebagai satu masalah kecil dan tidak menjadi halangan buatnya untuk turun beraksi.

Penyerang Manchester United itu menampilkan aksi memukau sewaktu England menundukkan Costa Rica dalam aksi pemanas badan di Elland Road dan dia mencatat satu jaringan hebat menerusi rembatan jarak jauh.

Rashford dan bintang Manchester City, Raheem Sterling, kini dilihat bersaing sengit untuk mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama skuad kendalian Gareth Southgate menjelang aksi pertama Kumpulan G bertemu Tunisia pada 18 Jun ini.

Selasa lalu, Southgate mengesahkan Rashford mengalami kecederaan pada kakinya tetapi pemain berusia 20 tahun itu memberi kenyataan menerusi laman sosial media peribadi, meminta semua pihak tenang mengenai masalah tersebut.

"Terima kasih di atas pesanan yang telah saya terima. Saya hanya menerima kecederaan kecil dan tiada apa yang patut dirisaukan #ThreeLions," memetik kenyataan Rashford.