Selepas sebulan berkelana di United Kingdom (UK), skuad hoki lelaki negara akhirnya pulang ke tanah air dengan semangat berbeza memandangkan mereka kini berada dalam kelompok ranking 10 terbaik dunia.

Selepas penantian selama 18 tahun, The Malaysian Hockey Tigers akhirnya berada dalam kelompok 10 terbaik dunia hasil siri perlawanan persahabatan kompetitif di UK.

Sepanjang jelajah itu, skuad negara menamatkan enam aksi persahabatan dengan satu kemenangan, empat keputusan seri dan satu kekalahan.

Barisan bimbingan Arul Selvaraj itu turut merekodkan satu kemenangan dan satu kekalahan dalam empat perlawanan ujian sepanjang tempoh berkenaan.

Sebagai rekod, kali terakhir skuad negara berada di ranking ke-10 terbaik dunia adalah pada 2003.

Ia dilihat sebagai persiapan dan pembakar semangat terbaik menjelang saingan Trofi Juara-Juara Asia 2021 di Dhaka, Bangladesh pada hujung tahun ini.