Ralf Rangnick sedia mempertimbangkan untuk kekal sebagai pengurus di Manchester United selepas penghujung musim ini.

Pengurus sementara baharu itu dilantik untuk membimbing United bagi baki kempen ini selepas pemecatan Ole Gunnar Solskjaer.

Dia hadir dalam sidang akhbar pertama sebagai pengurus United, malam tadi, dan mula membentangkan falsafahnya sambil bercakap mengenai hubungan cintanya yang sudah lama terjalin dengan bola sepak Inggeris.

Pengurus berusia 63 tahun itu mengakui sukar untuk membuat perubahan segera memandangkan dia menyertai kelab berkenaan ketika menghampiri separuh kempen musim ini, apatah lagi masa untuk diperuntukkannya di padang latihan di antara perlawanan adalah terhad.




Begitupun, bekas pengendali RB Leipzig dan Hoffenheim itu berasakan dia mampu membawa perubahan di Old Trafford dan tidak menolak kemungkinan untuk kekal lebih lama daripada rancangan asal.

"Pihak yang saya berurusan setakat ini sangat jelas apabila kami bercakap mengenai peranan saya selama enam bulan setengah ini," kata Rangnick.

"Kami tidak pernah bercakap tentang apa yang mungkin berlaku akan pada musim panas depan. Saya sedar mereka mungkin sedang mengintai pengurus baharu.

"Jika mereka mahu bercakap dengan saya tentang hal ini maka kita akan lihat kelak. Mungkin jika mereka mahukan pendapat saya, segalanya berjalan lancar dan kami berhasil membentuk pasukan, saya mungkin akan mempertimbangkan cadangan yang sama, sebagaimana yang saya pernah lakukan di Leipzig sebanyak dua kali yang menyaksikan saya mengesyorkan kepada mereka agar terus membenarkan saya memainkan peranan ini selama setahun kerana ia adalah satu idea yang baik, tetapi ini semua adalah andaian semata-mata.

"Bagi saya, sekarang adalah masanya untuk memenangi perlawanan seterusnya dan ini adalah tumpuan utama."


Klassiker: Haaland belum cergas sepenuhnya jumpa Bayern