Ralf Rangnick tidak begitu kisah tentang reaksi Cristiano Ronaldo apabila digantikan dalam kemenangan 3-1 Manchester United di Brentford.

United merakam kemenangan Liga Perdana Inggeris (EPL) pertama mereka pada 2022, awal pagi tadi, apabila Anthony Elanga, Mason Greenwood dan Marcus Rashford mencetak nama selaku penjaring sebelum Ivan Toney menyumbat gol sagu hati pada lewat permainan.

Pelawat bernasib baik kerana tidak dibolosi sebelum rehat dan menghasilkan persembahan cemerlang dalam babak seterusnya yang menyaksikan dengan Ronaldo memainkan peranan ketika jaringan Greenwood tercipta dengan lorongannya kepada Bruno Fernandes sebelum sentuhan akhir daripada pemain berusia 20 tahun itu.

Greenwood dan Ronaldo dikeluarkan untuk digantikan dengan Rashford serta Harry Maguire sembilan minit kemudian apabila Rangnick mula beralih kepada lima pertahanan.

Ronaldo kelihatan tidak berpuas hati ketika menuju ke tepi padang dan rasa tidak senangnya itu terus terpapar ketika berada di bangku simpanan. Penyerang itu dilihat seolah-olah bertanya kepada Darren Fletcher mengapa mereka memilih untuk mengeluarkannya.





Selepas jaringan Rashford itu, Rangnick dilihat membisikkan sesuatu kepada Ronaldo yang mula kelihatan tenang.

“Ia perkara biasa, sebagai penyerang dia mahu menjaringkan gol,” kata pengurus sementara itu kepada BT Sport sebelum menjelaskan keputusan tindakannya.

“Dia baru kembali daripada kecederaan ringan jadi bagi saya, adalah penting juga untuk mengingatkan bahawa kami akan mempunyai perlawanan seterusnya dalam tempoh tiga hari lagi.

“Kami mendahului 2-0, kedudukan yang sama seperti ketika di Villa Park, jadi kali ini saya memutuskan untuk memastikan kami dapat mempertahankan kelebihan itu. Saya fikir ia adalah satu keputusan yang tepat untuk beralih kepada lima pertahanan.

"Kami menjaringkan gol ketiga, kami mahu mengekalkan rekod bersih tetapi malangnya kami tidak berjaya melakukannya tetapi sekurang-kurangnya kami memastikan ia tidak lagi berulang."

United terhutang budi dengan persembahan David de Gea apabila dia mematahkan tujuh percubaan berbahaya sepanjang perlawanan, sekali gus meningkatkan jumlah aksi tangkasnya itu kepada 81 pada musim ini-– 11 lebih banyak berbanding seteru EPL yang lain.





Rangnick mengakui United sama sekali tenggelam dalam separuh masa pertama sebelum menghamburkan pujian terhadap kepada prestasi luar biasa De Gea.

Ditanya sama ada anak buahnya itu perlu bersungguh-sungguh dalam separuh masa pertama, Rangnick berkata: "Saya tidak akan mengulasnya dengan tegas tetapi jelas sekali kami perlu mengubah beberapa perkara.

“Dalam babak pertama, kami tidak bagus dalam hampir kesemua aspek permainan: hantaran, tidak cukup ampuh dalam situasi 50-50, kami memberikan hampir setiap bola kedua.

"Kemudian dalam separuh masa kedua, kami lebih memberi tekanan, menyerang mereka lebih tinggi di atas padang dan membuat keputusan yang tepat ketika serangan balas dan kami menjaringkan gol -- ia adalah perbezaan yang besar."

Mengenai persembahan De Gea, dia menambah: "Dia telah melakukan perkara itu sejak beberapa minggu lalu.

"Dia cemerlang menyelamatkan percubaan dalam separuh masa pertama, dia salah seorang penjaga gol terbaik di dunia ketika ini."

Kemenangan itu menyaksikan United menyamai kedudukan Arsenal yang menghuni tempat keenam dengan 35 mata, tetapi The Gunners memiliki kelebihan satu perlawanan.