Ralf Rangnick mendedahkan Manhcester United akan membuat rombakan besar ketika berdepan Young Boys di laman sendiri, awal pagi esok, memandangkan tiket mereka ke pusingan 16 Liga Juara-Juara (UCL) sudah muktamad.

The Red Devils tetap perlu berwaspada kepada Young Boys yang pasti turun dengan misi untuk mencalarkan maruah lawan apabila mendambakan kemenangan sulung di tempat lawan di peringkat tertinggi Eropah itu sejak Ogos 1960.

Pengurus berusia 63 tahun itu mengesahkan Donny van de Beek dan Dean Henderson akan dinamakan dalam barisan utama sementara Nemanja Matic akan memikul tugas sebagai ketua pasukan.

Dalam masa sama, Rangnick bertindak mengukuhkan barisan kakitangan United dengan membawa masuk penolong jurulatih, Chris Armas, dan pakar psikologi sukan, Sascha Lense.

Pengurus sementara itu mempunyai masa sehingga penghujung musim ini untuk mencipta kejayaan di Old Trafford sebelum bertindak sebagai penasihat selama dua tahun susulan pemecatan Ole Gunnar Solskjaer pada akhir bulan lalu.

Bekas pengurus RB Leipzig itu bermula dengan kemenangan 1-0 ke atas Crystal Palace di tempat sendiri, kelmarin, untuk menjadi pengurus Jerman pertama yang memenangi perlawanan pembukaannya dalam kancah Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas lima rakan senegaranya gagal sebelum ini.






Pengarah Teknikal United, Darren Fletcher, dan jurulatih, Kieran McKenna, bertindak sebagai penolongnya dalam kemenangan itu dan Rangnick kini masih mahu menguatkan kakitangan sokongannya.

Lense pernah bekerja di samping Rangnick yang termasuk di RB Leipzig selepas mula mengenali bekas pengurus New York Red Bulls tersebut yang ketika itu memainkan peranan sebagai Ketua Sukan dan Pembangunan Global Red Bull.

"Tidak akan ada begitu ramai pelantikan," katanya.

"Setakat ini saya sangat gembira dapat bekerjasama dengan kakitangan yang saya temui minggu lalu dan mereka banyak membantu saya dalam beberapa hari terakhir sebagai persediaan untuk menghadapi Crystal Palace.

"Kami telah memutuskan untuk melantik ahli psikologi sukan menerusi Sascha Lense. Dia dari Jerman, dia bekas pemain divisyen dua.

"Saya pernah bekerjasama dengannya selama tiga tahun di Leipzig, pada musim saya sendiri membawa kelab layak daripada divisyen kedua ke pertama. Ini termasuklah dua tahun berikutnya ketika Ralph Hasenhuttl menggalas tanggungjawab sebagai pengurus sementara sambil dibantu Zsolt Low -- kini penolong jurulatih Thomas Tuchel di Chelsea.

"Chris pernah menjadi penolong jurulatih di New York Red Bulls yang di bawah pimpinan Jesse Marsch. Itu cerita lima tahun lalu, iaitu ketika saya pertama kali bertemu dengannya. Sejak itu, kami sering bertemu."