Pegurus interim Manchester United, Ralf Rangnick, merupakan "seorang inovator paling disegani" dalam dunia bola sepak, demikian kata pengarah bola sepak pasukan itu, John Murtough.

The Red Devils mengumumkan pelantikan bekas jurulatih Hoffenheim, Schalke dan RB Leipzig itu semalam -- lapan hari selepas memecat Ole Gunnar Solskjaer.

Rangnick, 63, akan mengambil alih pasukan itu sehingga penghujung musim ini sebelum beralih ke peranan di bahagian perundingan di Old Trafford selama dua tahun.

Dengan menerima tawaran itu, Rangnick terpaksa melepaskan jawatannya sebaga ketua bahagian sukan dan pembangunan di Lokomotiv Moscow.

Murtough berkata dalam laman web rasmi pasukan itu: "Ralf merupakan antara jurulatih yang paling disegani dan seorang inovator dalam bola sepak Eropah.

"Dia merupakan calon utama kami untuk jawatan pengurus interim berdasarkan sifat kepimpinannya yang berharga dan juga kemahiran teknikal yang ada bersamanya sepanjang empat dekad dalam bidang pengurusan dan kejurulatihan.

"Semua di kelab ini menantikan untuk bekerjasama dengannya bagi baki musim ini dan dua tahun lagi di bahagian perundingan."

Rangnick, yang terkenal dengan falsafah bola sepak bertekanan tinggi, memulakan karier kejurulatihannya bersama kelab Viktoria Backnang.

Selepas beberapa musim bersama Stuttgart, Hoffenheim, Hannover dan Schalke, Rangnick kemudian berhasil membawa RB Leipzig melonjak dari liga divisyen 4 ke Bundesliga.

Daripada 293 perlawanannya dalam liga utama Jerman itu, Rangnick merekodkan 120 kemenangan -- dengan rekod 41 peratus kemenangan.

"Saya amat teruja untuk menyertai Manchester United dan fokus untuk menjadikan ia satu musim yang berjaya buat kelab ini," kata Rangnick.

"Skuad ini dipenuhi pemain berbakat dan mempunyai kestabilan antara pemain muda dan berpengalaman.

"Segala usaha saya dalam enam bulan ke depan adalah untuk membantu pemain ini memenuhi potensi mereka, sama ada secara individu atau yang lebih penting, secara berpasukan.

"Selepas itu, saya menantikan untuk menyokong sasaran jangka panjang kelab ini menerusi bidang perundingan," katanya.