Ralf Rangnick menggesa Jadon Sancho supaya mula menjelmakan prestasi ketika sesi latihan selepas permulaan karier yang amat mengecewakan di Old Trafford.

Manchester United membelanjakan £72 juta (RM410.6j) dalam pra-musim lalu, dia sudah lama dikaitkan akan meninggalkan Borussia Dortmund selepas kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu menghabiskan lebih setahun untuk memantau.

Selepas meninggalkan Manchester City sebagai pemain remaja, Sancho berkembang menjadi salah seorang bintang muda Eropah paling menyerlah dalam Bundesliga apabila terlibat dalam 51 gol tanpa sepakan penalti sepanjang 2019-20 dan 2020-21.

27 daripadanya adalah menerusi hantaran untuk berada di belakang pencapaian Thomas Muller (39), Kevin De Bruyne (32) dan Lionel Messi (27).

Walaupun pada masa itu beberapa pengkritik berhujah bahawa prestasinya tidak akan bertahan lama, ia masih merupakan angka yang sangat tinggi memandangkan dia menduduki tempat ke-11 dalam senarai bantuan jaringan.

Dia berdepan jalan berliku sebaik kembali ke EPL apabila hanya sekali menemui sentuhan pemusnah.

Pemain antarabangsa England itu tidak terlepas daripada kritikan apabila dimasukkan sebagai pemain gantian ketika seri 2-2 dengan Aston Villa, kelmarin, tetapi Rangnick mendedahkan persembahan anak buahnya tersebut sama sekali berbeza ketika dalam latihan.

"Setiap kali saya melihat dia berlatih, dia menunjukkan bahawa dia adalah antara pemain terbaik," kata pengurus sementara dari Jerman itu.







“Tetapi sekarang ia mengenai menjelmakannya dalam perlawanan sebenar iaitu dengan menunjukkan tahap dan prestasi yang sama.

"Itu pesan saya kepadanya: 'Sahkan persembahan yang anda tunjukkan ketika berlatih apabila anda diturunkan dalam aksi sebenar.'

"Bagi saya, ia sama sekali bukan soal posisinya. Dalam formasi 4-3-3, dia akan mengisi posisi sayap, sama ada kiri atau kanan. Dia mampu menggalas tugas kedua-duanya.

"Saya fikir dia lebih gemar di bahagian kiri kerana dia boleh menyusup ke dalam mahupun melepaskan rembatan dengan kakinya yang kuat.

"Tetapi bagi saya, ia bukan satu persoalan, tiada keraguan tentang posisinya. Dia seorang pemain sayap. Dia mampu menggelecek dengan pantas dan bagi saya kedudukan terbaiknya sama sekali bukan satu persoalan."

Apabila disoal lanjut apakah sebabnya Sancho masih gagal menyerlahkan potensi sebenarnya, Rangnick hampir tidak pasti sambil menawarkan beberapa teori, dan ia ada kena mengena dengan tuntutan yang lebih tinggi daripada segi fizikal serta psikologi.

"Ia sukar untuk dikatakan. Saya fikir ia berkait dengan kancah yang berbeza, ini adalah satu kejohanan yang berbeza. Ia lebih fizikal," katanya lagi.

"Ketika ini dia mewakili salah sebuah kelab terbesar di dunia. Saya fikir ia juga ada kaitan dengan banyak perkara berbeza yang bermain di dalam mindanya. Situasinya berbeza ketika dia tiba di Borussia Dortmund sebagai pemain Inggeris yang tidak begitu dikenali pada usia 18 tahun.

"Harapan terhadapnya adalah jauh lebih rendah berbanding pada usia 21 tahun. Namun, dia datang ke kelab seperti Manchester United ini dengan yuran perpindahan yang tinggi selain tahap jangkaan yang tinggi.

"Semua orang menaruh harapan untuk melihatnya menjadi salah seorang pemain terbaik dalam pasukan.

"Sekali lagi, secara psikologi dan emosi ia adalah satu situasi yang lebih mencabar daripada yang pernah dialaminya di Borussia Dortmund. Inilah rintangan yang perlu dihadapinya demi menjadi seorang pemain terbaik kelab ini untuk 10 tahun akan datang."