Pengurus Arsenal, Arsene Wenger berasakan pemain tengah Aaron Ramsey memiliki persamaan seperti bekas pemain Chelsea, Frank Lampard jika dia kekal cergas.

Ramsey hanya membuat lapan penampilan Liga Perdana Inggeris musim ini, dengan masalah kecederaan sering membelenggu pemain kebangsaan Wales itu.

Wenger berkata beliau menyifatkan terdapat persamaan Ramsey dan Lampard, pemain tengah yang mampu menjaringkan gol.

"Di dalam fikiran saya, Ramsey akan menjadi pemain yang mampu menghasilkan 10 atau 15 gol semusim," kata Wenger.

"Ramsey memiliki persamaan seperti Frank Lampard. Dia mampu menjadi pemain yang berbahaya ketika berada di dalam kotak penalti dan memiliki kapasiti untuk berlari.

Arsenal sedang membuat persiapan untuk aksi separuh akhir Piala FA untuk berdepan Manchester City dalam usaha mereka mencari trofi ketiga dalam tempoh empat tahun.

Ramsey merupakan wira pada aksi final 2014, menjaringkan gol pada masa tambahan ketika menewaskan Hull City.

Wenger berharap pemain tengah itu bersedia untuk memainkan peranan yang lebih besar untuk menamatkan musim ini.

"Dia sudah kelihatan cergas sepenuhnya dan saya berharap dia dapat beraksi buat kami kerana dia adalah pemain yang penting buat Arsenal.

"Ramsey merupakan pemain yang penting dalam aspek pertahan dan menyerang.

"Pemain seperti ini amat penting di dalam pasukan. Saya juga berasakan dia berada di usia yang terbaik dan mampu mengisi kekosongan jika Mesut Ozil tidak dapat beraksi."