Aaron Ramsey menyifatkan kemenangan 2-0 Arsenal ke atas AC Milan di San Siro membuktikan mereka masih lagi berkeyakinan untuk mempamerkan aksi cemerlang.

The Gunners menamatkan rentetan kekalahan dalam semua kejohanan, dengan menewaskan Milan dalam aksi pertama pusingan 16 dalam misi menempah slot ke suku akhir Liga Europa (UEL).

Jaringan sulung Henrikh Mkhitaryan bersama Arsenal dan Ramsey sudah memadai buat pasukan pelawat itu mengawal rentak perlawanan dan kembali ke Stadium Emirates serta mengurangkan tekanan kepada pengurus, Arsene Wenger.

Prestasi hambar Arsenal dalam beberapa aksi sebelum ini telah mengundang kritikan hebat terhadap pasukan sambil Ramsey menyifatkan kemenangan ini telah membuktikan mereka masih lagi mampu bersaing.

"Kami bermula dengan baik, menjaringkan dua gol dalam babak pertama. Kami mempamerkan perwatakan di atas padang," kata Ramsey.

"Sukar untuk beraksi di San Siro untuk berdepan AC Milan, dengan mengetahui menerusi pengalaman yang lepas. Saya gembira kerana kami beraksi di sini dan berjaya meraih kemenangan.

"Kami bermain dengan baik, menghasilkan peluang dan menggerakkan bola dengan baik. Kami juga berjaya memastikan gawang tidak dibolosi. Ia merupakan satu perkara yang baik bagi menghadapi aksi timbal balik nanti," ujarnya.