Cristiano Ronaldo sangat diperlukan oleh Real Madrid, tegas ketua pasukan, Sergio Ramos, setelah kelab itu menjulang gelaran Liga Juara-Juara (UCL) buat kali ketiga berturut-turut.

Gareth Bale masuk sebagai pemain gantian untuk menyumbat dua gol pada babak kedua untuk Madrid mengalahkan Liverpool 3-1 di Kiev, awal pagi tadi.

Begitupun, pemenang lima kali Anugerah Ballon d'Or, Ronaldo, 33, dalam temu bual dengan beIN Sports sejurus permainan tamat mencadangkan bahawa dia sedang mempertimbangkan untuk meninggalkan Madrid.

"Ia detik indah di Real Madrid," kata Ronaldo. "Dalam beberapa hari akan datang, saya akan memberikan jawapan."

Bagaimanapun, Ramos berkata Madrid pasti terdesak untuk mengekalkan Ronaldo yang telah membantu gergasi Sepanyol itu menjuarai empat gelaran UCL dalam tempoh lima tahun.

"Keputusannya adil dan kami sangat gembira," kata Ramos kepada pemberita.

"Saya fikir Cristiano tidak boleh disangkal lagi.

"Dia adalah sebahagian pasukan ini yang peranannya tidak boleh dipertikaikan lagi dan di sinilah tempatnya untuknya."

Mengulas kejayaan rentetan tiga kejuaraan UCL, Ramos menambah: "Ia adalah perlawanan yang sangat sukar, tetapi pasukan ini telah menunjukkan semangat untuk terus menang, kami perlu menghargai apa yang telah kami capai."