Ketua pasukan Real Madrid, Sergio Ramos, menyifatkan Gareth Bale sebagai "pemain hebat" dan menyokong rakan sepasukannya itu untuk mengatasi musim sukarnya.

Bale dijangka meninggalkan Madrid dan hampir melengkapkan langkah mengejut ke Liga Super China, namun bintang Wales itu kekal di Santiago Bernabeu.

Tidak diingini oleh pengurus, Zinedine Zidane, Bale -- yang telah memenangi empat gelaran Liga Juara-Juara (UCL) dan LaLiga sejak tiba daripada Tottenham pada 2013 -- telah diturunkan dalam ketiga-tiga perlawanan LaLiga musim ini dengan menyumbat gol ketika Madrid seri 2-2 dengan Villarreal dalam perlawanan terakhir.

Di celah-celah kritikan itu dan laporan yang mengaitkannya tersisih daripada skuad utama, Ramos memberitahu Daily Mail: "Saya fikir Bale adalah seorang pemain hebat dan dia sangat penting untuk kelab ini sejak bersama kami.

"Anda mendapati banyak laporan dalam akhbar, ada yang benar dan ada yang tidak. Kami perlu menghadapinya dan berusaha untuk mengatasinya.

"Mengenai apa yang diperkatakan mengenai Gareth, saya fikir masa akan membuktikannya. Tidak kira apa yang setiap pemain lakukan dalam kehidupan peribadi, saya fikir ia harus dihormati dan tidak dibincangkan. Kami bebas melakukan apa yang dihajati pada masa lapang.

"Sudah tentu, secara profesionalnya pemain berhutang kepada pasukan, kelab dan anda cuba untuk bersikap sejujur ​​yang mungkin. Selepas itu, terpulang kepada setiap orang untuk pulang ke rumah dengan hati nurani yang bersih atau tidak."

Keraguan mengenai masa depan Bale timbul selepas Zidane kembali dilantik untuk mengendalikan Madrid buat kali kedua pada penghujung kempen lalu.

Zidane menghadiahkan tiga kejayaan Liga Juara-Juara (UCL) berturut-turut sebelum mengundurkan diri pada 2018. Bagaimanapun, pengurus berbangsa Perancis itu kembali selepas prestasi buruk mereka di bawah kendalian Julen Lopetegui dan Santiago Solari.

Madrid menduduki tempat ketiga LaLiga musim lalu yang menyaksikan mereka terkandas di peringkat 16 UCL tatkala musim ini, gergasi Sepanyol itu menduduki tangga keempat dengan hanya satu kemenangan dalam tiga perlawanan.

"Saya menyimpulkan bahawa dia adalah orang yang sama tetapi lebih baik kerana dia mempunyai lebih banyak pengalaman," kata Ramos mengenai Zidane.

Pertahanan itu, yang menyamai rekod Iker Casillas dalam kemunculan terbanyak antarabangsa dengan 167 penampilan ketika beraksi dalam kelayakan Euro 2020 semalam, menambah: "Sudah tentu selepas kemenangan yang hebat untuk jangka masa yang panjang, akan ada perubahan.

"Benar, kejayaan kami terhenti. Ada sesetengah bahagian dalam pasukan ini yang keletihan untuk meraih kemenangan. Kami perlu bangkit dan memulakan perjuangan ini semula. Kami mempunyai muka baru dalam pasukan kami.

"Kami akan sentiasa menjadi pesaing untuk menang, anda terpaksa memenangi trofi pada setiap tahun, kami perlu mengetepikan musim yang buruk dan kami kini lebih dahagakan kejayaan untuk bersaing.

"Saya fikir ini akan menjadi tahun yang baik dan kami mesti melakukan perkara yang betul dari awal-awal lagi."