Ramos mungkin kekal kapten Sepanyol, Luis Enrique janjikan kejutan

Penulis Jemputan
Julai 20, 2018 02:21 MYT
Jurulatih baru Sepanyol, Luis Enrique, menegaskan bahawa dia tidak mempunyai masalah dengan Sergio Ramos tetapi tidak menolak kemungkinan menyuntik beberapa pemain baru dalam skuad kebangsaan.
Ramos mengetuai negaranya dalam kempen Piala Dunia yang mengecewakan di Russia yang menyaksikan Sepanyol disingkirkan tuan rumah dalam pusingan 16.
Pertahanan Real Madrid itu mungkin dianggap kurang digemari jurulatih yang pernah menggalas tanggungjawab di Barcelona itu, begitupun Enrique berhasrat meneruskan tradisi memilih pemain yang paling banyak melakukan penampilan sebagai kapten pasukan.
"Saya tidak mempunyai sebarang masalah dengan mana-mana pemain, setakat yang saya tahu," katanya kepada media.
"Tiada masalah dengan Ramos, saya tidak bercakap dengannya kerana saya perlu meletakkan diri saya (dalam peranan).
"Ketua pasukan kebangsaan merupakan pemain yang paling banyak kali tampil. Saya amat menghormati pemain seperti itu," ujarnya.
Enrique menandatangani kontrak dua tahun untuk mengambil alih tugas berkenaan bagi menggantikan peranan singkat Fernando Hierro berikutan pemecatan Julen Lopetegui secara mengejut sebelum Piala Dunia bermula.
Bercakap kepada media semalam, beliau menyatakan hasratnya untuk memulakan tugas dengan baik dengan merancang untuk menilai senarai panjang pemain menjelang aksi pertamanya menentang England di Stadium Wembley pada 8 September depan.
"Senarai awal saya ialah 70 pemain, saya perlu mengkajinya," kata Enrique.
"Saya akan menyenaraikan pilihan pertama saya dan akan sentiasa ada kejutan. Kami akan mengharungi tempoh yang baik, anda akan melihatnya.
"Akan ada pemain yang selalu dipilih, pemain yang telah hilang kemudian kembali dan ada yang tidak pernah tersenarai, sementara ada yang tiba-tiba kembali ke pangkuan kebangsaan," tambahnya.
Laporan media di Britain mencadangkan Rafael Benitez merupakan calon pilihan awal sebelum Piala Dunia, begitupun Presiden Persekutuan Bola Sepak Diraja Sepanyol (RFEF), Luis Rubiales, menegaskan Enrique merupakan satu-satunya jurulatih yang dalam pertimbangan untuk mengisi kekosongan itu.
"Saya ingin berterima kasih kepada jurulatih baru kerana komitmennya terhadap Sepanyol," kata Rubiales.
"Saya perlu menjelaskan bahawa dia adalah satu-satunya jurulatih yang kami hubungi kerana kami tidak mempunyai keraguan ketika mempertimbangkannya."