Ramos lega dapat kembali beraksi selepas buat penampilan pertama dengan PSG

Muzaffar Musa
November 29, 2021 02:04 MYT
SAINT-ETIENNE 1 PSG 3
Sergio Ramos berkata dia memperoleh satu lagi pengalaman berharga selepas akhirnya dapat melakukan penampilan pertama bersama kelab barunya, Paris Saint-Germain (PSG).
Ramos menyertai PSG secara perpindahan percuma pada Julai lalu, sekali gus menamatkan era gemilang 16 tahunnya di Real Madrid.
Bagaimanapun, pemain berusia 35 tahun itu terpaksa menunggu lama untuk mewakili PSG selepas mengalami kecederaan betis dan perlu menjalani pemulihan terlebih dahulu.
Selepas diletakkan di bangku simpanan dalam perlawanan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) menentang Manchester City pada Khamis lalu, Ramos diturunkan bagi mengetuai benteng pertahanan PSG di samping Marquinhos dan berhasil membantu skuad bimbingan Mauricio Pochettino itu menewaskan Saint-Etienne -- yang beraksi dengan 10 pemain -- 3-1 dalam perlawanan Ligue 1 di gelanggang lawan berkenaan.
Ia hanya merupakan kali keenam Ramos beraksi sepanjang 2021 -- kali terakhir pertahanan tengah itu bermain adalah ketika Madrid tewas kepada Chelsea dalam UCL pada Mei lalu. Ini selepas terdapat cakap-cakap bahawa PSG akan menamatkan kontrak pemain veteran berkenaan.
Secara keseluruhan, Ramos hanya beraksi 485 minit sepanjang musim ini dan ia dilihat menjadi punca mengapa dia kelihatan agak 'berkarat' dalam perlawanan terbaru itu.
Selepas melakukan penampilan pertamanya bersama pasukan itu, Ramos menciap dalam Twitter: "Sebuah kemenangan dan dapat kembali ke padang, anda tidak akan tahu betapa lama saya menantikannya. Ia merupakan beberapa bulan yang amat sukar
"Terdapat banyak ketidakpastian, banyak perubahan dan yang paling buruk, kesakitan tidak dapat melakukan perkara yang saya paling cintai: bemain bola sepak. Tetapi itu semua sudah berakhir buat saya.
"Ia satu lagi pengalaman berharga. Kini masa untuk memandang ke depan dengan sikap optimis dan bercita-cita.
"Terima kasih kepada semua yang telah bersama saya memberikan kata-kata semangat, terutama keluarga saya yang sentiasa menyokong tanpa mengira keadaan. Kita akan melaluinya dan lebih banyak akan tiba," katanya.
#bola sepak #PSG #Ligue 1 #Sergio Ramos