Sergio Ramos lebih rela Paris Saint-Germain (PSG) mengelak daripada bertembung dengan Real Madrid dalam pusingan 16 Liga Juara-Juara (UCL), tetapi mengakui dia perlu menghadapi perjuangan ketika ini.

Legenda Los Blancos itu menghabiskan kariernya selama 16 tahun yang sarat dengan trofi di ibu negara Sepanyol berkenaan, di mana dia memenangi lima gelaran LaLiga dan empat UCL.

Bek tengah tersebut beralih angin ke Ligue 1 dengan menyertai PSG menjelang musim 2021-22 selepas Madrid memilih untuk tidak menawarkan kontrak baharu kepadanya dan kebetulan pula PSG diundi bertemu bekas kelabnya itu.

Bercakap dalam majlis pembukaan gimnasium barunya di Madrid, Ramos mengulas mengenai prospek berdepan pasukan yang begitu dekat di hatinya itu.

"Nasib tidak boleh diramalkan. Saya lebih suka jika kami diundi berdepan pasukan lain tetapi begitulah keadaannya," katanya.

"Anda tahu kasih sayang dan cinta yang saya miliki untuk Real Madrid, ia tidak akan pernah berubah. Sekarang saya perlu menghadapi masa kini. Saya bermain untuk PSG.

"Ia adalah satu perasaan yang bercampur baur. Saya berharap undian seperti ini tidak berlaku, sebaliknya saya akan pulang ke Bernabeu. Saya mengharungi tahun-tahun terbaik dalam hidup saya di sini, lebih-lebih lagi tidak sempat selamat tinggal kerana COVID-19, ia adalah sesuatu yang menyenangkan.

"Saya mahu ia berlaku sebaliknya tetapi itulah bola sepak. Saya perlu mempertahankan pasukan saya. Saya akan mati bersama PSG."

A post shared by Sergio Ramos (@sergioramos)



Ramos juga berharap dapat bergandingan lebih lama di samping Kylian Mbappe yang hangat dikaitkan ke Real Madrid tatkala kontraknya akan berakhir hujung musim ini.

"Saya mahu di kelilingi pemain handalan dan Mbappe merupakan nadi PSG ketika ini dan masa depan. Saya mahu dia terus bersama pasukan ini," katanya lagi.

Kehadiran pemain Sepanyol itu ke Perancis turut ditemani Lionel Messi yang menyaksikan banyak episod pertelagahan mereka sepanjang membabitkan perlawanan 'El Classico', tetapi mereka tiada masalah untuk bergandingan.

"Matlamat utama kami ialah UCL. Saya dan Messi mampu menyumbangkan sesuatu. Hubungan ini mengagumkan dan kami saling menghormati."