Sergio Ramos diketepikan dalam pertembungan Paris Saint-Germain (PSG) dengan Lens selepas pertahanan itu terus dibelenggu masalah kecederaan di ibu kota Perancis itu.

Pemain berusia 35 tahun itu telah melalui tempoh yang mengecewakan sejak beralih ke Parc des Princes daripada Real Madrid yang pernah diwakilinya selama 16 musim.

Ramos membuat penampilan pertama yang ditunggu-tunggu dalam kemenangan 3-1 ke atas Saint-Etienne hujung minggu lalu, tetapi tidak tersenarai ketika mereka buntu berdepan Nice, pertengahan minggu ini.

Pemain dari Sepanyol itu akan sekali lagi terlepas perlawanan apabila PSG bertandang ke Lens tatkala pasukan kendalian Mauricio Pochettino tersebut dalam misi kembali ke landasan kemenangan Ligue 1.

"Beban kerja Ramos telah menyebabkan keletihan ototnya selepas kembali beraksi. Dia akan menyambung latihan bersama skuad pada hari esok," menurut kemas kini di laman sesawang rasmi PSG.

Legenda Madrid itu hanya terbabit dalam enam perlawanan di peringkat kelab sepanjang tahun ini dengan jumlah keseluruhan 485 minit di atas padang, manakala penampilan terakhirnya bersama Sepanyol adalah pada Mac lalu.

15 perlawanan LaLiga yang dimulakan Ramos musim lalu adalah yang paling sedikit buatnya di Real Madrid selepas dipertaruhkan dalam 35 kali dalam musim sebelum ini.




Selain tanpa Ramos untuk menentang Lens, Ander Herrera, Julian Draxler dan Neymar juga tersisih untuk baki tahun ini.

Dalam sidang akhbar pra-perlawanan malam tadi, Pochettino mengesahkan hasratnya untuk membuat rombakan selepas seri 0-0 dengan Nice.