Sergio Ramos menjangkakan Real Madrid menang 3-0 sambil ketua pasukan itu menekankan betapa penting dan sukarnya untuk mengalahkan Bayern Munich dalam Liga Juara-Juara.

Marcelo dan Marco Asensio memadamkan jaringan pembukaan Joshua Kimmich untuk mengetuai kemenangan 2-1 Madrid ke atas juara Jerman itu dalam aksi separuh akhir pertama, awal pagi tadi.

Bayern menguasai permainan tetapi malangnya melepaskan dua gol yang tidak ternilai kepada juara bertahan dua kali itu menjelang perlawanan timbal balik di Santiago Bernabeu minggu depan.

Bercakap selepas perlawanan itu, pemain veteran berkenaan segera mengalihkan perhatiannya kepada perlawanan di ibu kota Sepanyol nanti.

"Kami jangka boleh menang 3-0 tetapi ia menjadi sukar," kata Ramos. "Ini adalah Liga Juara-juara dan kami gemar terlibat dalam permainan yang hebat. Mereka mempamerkan aksi mantap, bertahan dengan baik dan kami sedar bahawa ia tidak akan mudah.

"Sukar untuk bertandang ke sini, menentang lawan yang hebat di depan peminat mereka, kami perlu menyelesaikan tugas di Bernabeu. Kami belum mencapai apa-apa lagi dan perlu tetap tenang dan menunjukkan rasa hormat kepada Bayern," katanya.

Ramos menambah: "Dalam keadaan seperti ini, apabila anda mendahului, secara semulajadinya anda akan lebih bertahan dan bergelut. Apabila kedudukan terikat, Bayern benar-benar mengasak dan kami dapat menghukum mereka menerusi serangan balas.

"Adalah penting bahawa sesiapa yang akan bermain nanti boleh mengekalkan tahap prestasi sehingga kami menang."