Kapten Real Madrid, Sergio Ramos, percaya finalis Liga Juara-Juara Eropah itu akan tercatat dalam sejarah di atas pencapaian yang diraih di bawah kendalian Zinedine Zidane.

Gergasi LaLiga itu bakal bertemu Liverpool dalam aksi final di Kiev pada Sabtu ini, sekali gus menjadi pentas akhir yang ketiga berturut-turut di bawah bimbingan pengendali dari Perancis itu.

Madrid menjadi satu-satunya pasukan dalam format moden yang meraih gelaran juara dalam dua edisi berturut-turut dan telah menjulang lapan trofi secara keseluruhan sejak Zidane mengambil alih pasukan pada Januari 2016.

Situasi itu membuatkan Ramos memuji cara Zidane mengendalikan bilik persalinan dengan corak positif -- sesuatu yang disifatkan sebagai perubahan besar sejak dia berada di Santiago Bernabeu -- sambil mencipta skuad Madrid yang bermutu tinggi.

"Ia menjadi satu penghormatan dan pulangan hebat apabila dapat kembali dan beraksi dalam satu lagi aksi final. Kami berpeluang memenanginya sekali lagi dan ia sangat penting buat kami," kata pemain berusia 32 tahun itu.

"Ia tampak seperti kami diberikan hadiah final sekali lagi tetapi sebenarnya, sukar untuk tiba di sini. Kami menjadikan setiap kesukaran sesuatu yang mudah.

"Sukar untuk melakukan apa yang telah kami raih dan saya rasa kami adalah pasukan yang bermutu tinggi. Saya meluangkan masa bertahun-tahun di Madrid dan terdapat sesetengah musim di mana kami gagal untuk memberikan impak kepada saingan di Eropah.

"Selain itu, amat penting untuk mewujudkan kestabilan dalam pasukan. Apabila saya tiba di sini, terdapat banyak perubahan pengurus dan presiden. Bilik persalinan diasingkan dan ia tidak bagus.

"Kini, segalanya berada dalam keadaan yang terbaik. Kami bersatu dan ia menjadi kunci kejayaan kami. Tiada ego," tambahnya.