Mauricio Pochettino mengesahkan bahawa Sergio Ramos semakin hampir untuk melakukan penampilan pertama bersama Paris Saint-Germain (PSG) selepas empat bulan menyertai pasukan itu daripada Real Madrid.

Pemain kebangsaan Sepanyol itu tiba secara perpindahan percuma pada Julai lalu tetapi tidak pernah diturunkan gara-gara kecederaan lutut.

Bercakap dalam sidang media menjelang perlawanan Ligue 1 menentang Nantes awal pagi esok, ketua jurulatih PSG itu berkata bahawa Ramos sudah kembali berlatih dan mungkin akan berada dalam senarai pemain yang akan diturunkannya.

"Sergio Ramos sedang berada dalam keadaan baik. Dia sudah berlatih bersama skuad kami sebanyak tiga kali dan menunjukkan perkembangan yang baik.

"Kami gembira dan kita akan lihat sama ada dia dapat diturunkan esok atau tidak, atau untuk perlawanan yang akan datang," kata Pochettino.


Ditanya mengenai penetapan minda dan kekecewaan yang dialami Ramos kerana tidak dapat beraksi, jurulatih berbangsa Argentina itu menambah: "Pemenang Piala Dunia seperti Sergio Ramos, dengan tahap kompetitif dan mentalitinya, pasti sukar untuk menerima bahawa dia tidak beraksi sebanyak yang dimahukan.

"Tetapi dia amat kuat. Dia berusaha dengan amat gigih dan kami fikir dia sedang pulih dengan baik.

"Kita perlu bersabar sepertimana dia bersabar. Ia menunjukkan kematangannya.

"Dia memberikan kerjasama dengan baik dalam latihan dan ia merupakan langkah yang penting buatnya untuk semakin hampir kembali bermain," katanya lagi.