Dani Alves yakin dia masih boleh menyumbangkan sesuatu dalam kepulangannya ke Barcelona walaupun sudah berusia.

Pemain berusia 38 tahun itu kembali menyertai Barca secara perpindahan percuma semalam susulan meninggalkan Sao Paulo pada September lalu -- selepas dua tahun bersama kelab Brazil itu.

Pertahanan kanan itu perlu menunggu sehingga Januari depan untuk melebarkan rekod 391 penampilannya bersama Barcelona dan berharap dapat menambah koleksi trofinya selepas era gemilangnya bersama kelab itu, termasuk tiga gelaran Liga Juara-Juara Eropah (UCL) dan enam kejuaraan LaLiga.

Walaupun kelihatan sudah berada di penghujung karier, Alves yakin dia masih mampu memainkan peranan di dalam dan di luar padang untuk Barca kembali berada di tahap terbaik.



"Rambut saya makin berkurang tetapi keinginan saya masih kuat! Saya tahu apa yang melambangkan kelab ini dan saya tahu saya masih boleh menyumbang, di dalam dan luar padang, mencipta sinergi bersama kelab ini dan penyokongnya," kata Alves dalam majlis pengenalannya.

"Lagipun, kami telah menggembirakan ramai orang dengan pelbagai kejayaan dan mungkin mereka sudah tidak percaya tetapi saya fikir jika kita semua mendayung ke satu arah yang sama, kapal ini akan sampai ke pelabuhannya."