CROATIA 1 DENMARK 1
(Croatia mara melalui penentuan penalti 3-2)

Ivan Rakitic menjaringkan sepakan penalti kemenangan untuk menyelamatkan maruah Croatia susulan kegagalan Luka Modric menyempurnakan penalti dalam masa tambahan bagi membawa pasukannya mara ke suku akhir Piala Dunia 2018 menerusi penentuan penalti selepas permainan terikat 1-1 menentang Denmark, awal pagi tadi.


Selepas menafikan sepakan Modric itu, penjaga gawang Denmark, Kasper Schmeichel, turut menyelamatkan dua lagi sepakan. Namun, penjaga gol lawan, Danijel Subasic, lebih cemerlang dengan tiga aksi menyelamat, termasuk Nicolai Jorgensen, untuk membuka peluang kepada Ivan Rakitic mengesahkan kemenangan 3-2.

Pertembungan menarik itu berakhir dengan situasi tidak asing lagi sungguhpun pada awalnya Mathias Jorgensen dan Mario Mandzukic saling menyumbat gol dalam tempoh empat minit pertama permainan.

'Generasi emas' Croatia yang terdiri daripada Modric, Rakitic dan Ivan Perisic diramalkan akan mempamerkan aksi lebih bertenaga, sebaliknya anak buah Zlatko Dalic itu kelihatan agak lesu dan berhati-hati pada awal aksi.

Croatia, bagaimanapun, tetap memastikan tiket ke suku akhir untuk menempah pertemuan dengan Russia di Sochi, Sabtu ini, dan mereka perlu mencari helah yang lebih baik dalam serangan sekiranya berhasrat menembusi pertahanan skuad bimbangan Stanislav Cherchesov itu yang berdaya tahan.

Jurulatih Denmark, Age Hareide, terpaksa menelan kepahitan selepas anak buahnya mempamerkan semangat juang untuk memenangi perlawanan dalam tempoh sebenar permainan, dengan penyerang Feyenoord, Jorgensen, gagal melaksanakan tanggungjawab pada saat-saat getir sebelum Rakitic menghantar mereka pulang.

Aksi rancak tercetus sebaik minit pertama apabila lontaran ke dalam Jonas Knudsen menemui Thomas Delaney dan rakan sepasukannya itu segera melorongkan bola kepada Mathias Jorgensen, yang menyaksikan percubaannya terkena Subasic sebelum menerjah jaring.

Kelebihan Denmark itu hanya kekal tiga minit sebelum usaha Henrik Dalsgaard untuk cuba mengeluarkan bola hantaran Sime Vrsaljko berakhir ke muka rakannya, Andreas Christensen. Bola lantunan itu singgah di depan Mandzukic dan penyerang Juventus berkenaan tidak melepaskan peluang untuk menghukum Schmeichel dari jarak enam meter.

Denmark bangkit daripada kekecewaan itu dengan mengatur ancaman ke arah kubu lawan. Diberi ruang di bahagian tengah, pemain Middlesbrough, Martin Braithwaite, melepaskan rembatan leret yang diselamatkan Subasic.

Schmeichel kemudian dikerah untuk menyelamatkan percubaan jarak jauh Rakitic, namun Croatia terus berdepan kesulitan untuk mengulangi sengat semasa di peringkat kumpulan sehingga terpaksa berpuas hati terikat 1-1, sekali gus membenarkan perlawanan diheret ke masa tambahan.

Kedua-dua pasukan terus buntu untuk menambah jaringan sambil enggan mengambil risiko besar pada penghujung permainan.

Hareide membawa masuk Nicolai Jorgensen bagi menggantikan tempat Andreas Cornelius dan percaturan itu hampir membuahkan hasil apabila dia mencipta peluang menarik, namun Subasic sudah bersedia menyambut percubaannya.

Rakitic sempat melepaskan rembatan dari jarak 25 meter pada awal masa tambahan, namun Denmark mendominasi dalam tempoh lama dalam separuh pertama, dengan Lasse Schone bijak mencari ruang di tepi kotak penalti sebelum melepaskan satu tendangan yang sedikit sipi dari pintu gol.

Pione Sisto diperkenalkan pada masa tambahan dan membuat ancaman terhadap kubu lawan ketika Croatia lebih senang untuk bertahan.

Bagaimanapun, larian Ante Rebic menyebabkan pertahanan Denmark, Mathias Jorgensen, terpaksa menjatuhkannya dan Schmeichel muncul wira dengan mendakap kemas tendangan penalti Modric yang menghantar bola ke sebelah kirinya.

Christian Eriksen memulakan langkah sumbang Denmark dalam penentuan penalti sebelum giliran Schmeichel mengimbangi kedudukan apabila menepis sepakan Milan Badelj.

Simon Kjaer tenang merembat ke sudut atas untuk kembali meletakkan Denmark di landasan kemenangan sebelum Andrej Kramaric menyudahkan tanggungjawab, disusuli sepakan Michael Krohn-Dehli dan Modric.

Begitupun, situasi semakin menarik apabila Subasic tangkas menangkis tendangan Schone manakala Schmeichel cekap menyelamatkan sepakan Josip Pivaric.

Namun, kecemerlangan penjaga gol Leicester City itu menjadi sia-sia ekoran Subasic menghalang tendangan Jorgensen dengan kakinya sebelum Rakitic melepaskan bola ke sudut bawah kiri gawang untuk mengakhiri perlawanan penuh mendebarkan itu.