Jurulatih PKNS FC, K. Rajagobal, melahirkan rasa lega apabila pasukannya kembali menduduki tangga teratas Liga Super selepas menewaskan Kelantan 1-0 di Stadium Shah Alam, semalam.

Bekas jurulatih skuad kebangsaan itu berkata corak permainan Kelantan yang banyak membuat hantaran kepada penyerang berbisa kelahiran Lubnan, Mohammed Ghaddar, sudah dijangkakannya dari awal.

"Boleh nampak kedua-dua pasukan bermain secara terbuka dan baik. Kami sudah jangka Kelantan akan bermain untuk Ghaddar apabila mereka menguasai permainan," katanya.

PKNS turun dengan misi mengembalikan rentak kemenangan di laman sendiri tatkala Kelantan mahu terus mengukuhkan kedudukan dalam liga.

Babak pertama menyaksikan Kelantan terlebih dahulu menguji benteng PKNS pada minit ketujuh, namun percubaan Ghaddar ditepis penjaga gol PKNS, Mohd Shahril Saa'ri.

PKNS kemudian mula mendapat rentak dan kerap mengancam benteng lawan dan usaha tuan rumah itu akhirnya berhasil apabila Muhammad Faris Ramli menyudahkan hantaran silang Jonathan Acosta untuk gol tunggal perlawanan pada minit ke-40.

Masuk babak kedua, PKNS mula mengurangkan asakan tatkala pelawat tampil lebih agresif dalam usaha meraih jaringan penyamaan.

Namun, PKNS tetap berjaya mengekalkan disiplin sepanjang perlawanan bagi memastikan kedudukan 1-0 kekal sehingga wisel penamat

"Peluang kami sukar malam ini dan kami mengerti kelemahan kami sendiri, terutama dalam separuh masa pertama," kata pemangku jurulatih Kelantan, Yusri Che Lah.