Pengendali PKNS FC, Datuk K. Rajagobal, tidak mahu terlalu cepat menggunakan khidmat dua tonggak pertahanannya, Zac Anderson dan Qayyum Marjoni Sabil, yang baru pulih daripada kecederaan untuk aksi suku akhir kedua Piala FA, Sabtu ini.

Kedua-dua pemain itu sudah kembali menjalani latihan selepas tersisih selama beberapa minggu kerana kecederaan lutut.

Rajagobal mengakui kehadiran Anderson dan Qayyum merupakan satu perkembangan positif, namun bekas pengendali kebangsaan itu mahu memastikan mereka sudah bersedia sepenuhnya sebelum kembali beraksi.

"Kami masih berdepan banyak perlawanan yang penting dan kami tidak ingin memberikan tekanan kepada pemain-pemain kerana jika mereka kembali menerima kecederaan, kami akan kehilangan khidmat kedua-dua pemain ini sekali lagi," katanya.

Sementara itu, Rajagobal turut mahu pemain melupakan kekalahan 3-0 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam aksi Liga Super minggu lalu untuk fokus kepada perlawanan menentang Perak.

Menyedari Perak akan memburu jaringan awal selepas tumpas 2-1 dalam aksi suku akhir pertama, jurulatih itu yakin barisan pemainnya mampu menangani asakan lawan.

Beliau juga mahu pemain sentiasa berwaspada dengan ancaman Perak dan tidak memandang mudah cabaran mereka.

"Kami sedar Perak akan bermain dengan agresif untuk mendapatkan jaringan lebih cepat. Kami juga tahu akan situasi yang berlaku dalam aksi sebelum ini.

"Saya mahu skuad PKNS mengikut perancangan dan menjalankan tugas dengan baik di samping sedar akan tanggungjawab masing-masing," katanya.