Ejen kepada Gianluigi Donnarumma, Mino Raiola, mengulangi hasratnya untuk melihat penjaga gol itu meninggalkan AC Milan.

Rossoneri mengesahkan minat mereka memburu penjaga gol Napoli, Pepe Reina, yang boleh diikat secara percuma pada Julai nanti, lalu mencetuskan keraguan baru terhadap masa depan Donnarumma.

Donnarumma, 19, kelihatan hampir pasti menuju pintu keluar San Siro selepas rundingan perjanjiannya tergendala beberapa kali tahun lalu sebelum akhirnya bersetuju memeterai kontrak baru hingga 2021.

Bagaimanapun, Raiola, yang tidak berahsia mengenai hubungan dinginnya dengan pengurusan Milan, bersedia membuat langkah terbaru.

Ditanya oleh Radio24 sama ada dia ingin melihat penjaga gawang itu kekal di Milan musim depan, Raiola menjawab: "Semoga ia adalah Reina."

Ejen itu juga meluahkan kekecewaannya dengan secara sinis mengalu-alukan Gianluigi Buffon kembali ke pangkuan pasukan Itali.

Buffon, 40, baru-baru ini membatalkan persaraan antarabangsanya dan telah dipanggil untuk membarisi skuad Azzurri di bawah kendalian jurulatih sementara, Luigi Di Biagio, sekali gus menangguhkan hasrat Donnarumma untuk menyarung jersi nombor satu.

"Saya kagum dengan Buffon yang saya cintai, tetapi itulah cara Itali," katanya.

"Saya cuba mengubah pendekatan ini -- 10 atau 15 tahun tanpa kejayaan.

"Kami menyerahkan pasukan kebangsaan kepada (Giampiero) Ventura sebelum beralih kepada Di Biagio -- yang tidak pernah mencapai apa-apa kejayaan di peringkat tinggi -- kemudian berharap ia akan membuahkan hasil.

"Jika anda menang, maka anda betul. Itulah paling mustahak di Itali dan bagi saya, itu salah.

"Apabila Buffon disenaraikan, jelas sekali Itali akan membawanya dalam Kejohanan Euro 2020," tambahnya.