Real Madrid akan mencari dana pada hujung musim ini demi mendapatkan khidmat Erling Haaland sekiranya mahu menggoda Borussia Dortmund agar melepaskannya, menurut ejen pemain itu.

Mino Raiola, yang mewakili penyerang Norway itu, percaya peluang untuk mendapatkan pemain berpotensi tinggi seperti Haaland akan sukar ditolak Madrid mahupun Barcelona.

Kedua-dua gergasi Sepanyol itu berhasrat menjayakan Liga Super Eropah (ESL) -- kejohanan yang mampu meringankan beban kewangan mereka.

Kemelesetan pendapatan itu berikutan terhimpit dengan krisis COVID-19 mendorong Presiden Real Madrid, Florentino Perez, untuk mengakui bahawa mereka tidak mampu memancing nama-nama besar.

Bintang Paris Saint-Germain (PSG), Kylian Mbappe, juga dikaitkan dengan perpindahan ke Madrid.

Raiola berpendapat Los Blancos tidak akan berundur seandainya Haaland sedia berubah angin.

"Saya tidak tahu apakah mereka berkemampuan kerana saya belum melihat buku akaun mereka. Tetapi saya rasa mereka mampu. Mereka semua mampu," katanya kepada akhbar Sepanyol, AS.

"Sepatutnya soalannya berbunyi begini: Mampukah Madrid menolak untuk membeli Haaland? Begitu juga Barca?"





Tambahnya: "Perubahan Madrid ini akan bertahan selama 10 tahun dan itulah sebabnya Haaland merupakan sosok penting kerana dia masih amat muda, bahkan anda akan membeli seorang bakat muda dengan pengalaman elit.

"Sama juga dengan Mbappe. Tetapi anda hanya mempunyai satu peluang sahaja untuk membelinya. Sekarang anda berpeluang untuk memancingnya selama 10 tahun ke depan. Hal yang sama berlaku terhadap Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi. Apabila mereka sudah membentuk sebuah pasukan yang disegani, mereka tidak akan dilepaskan."

Dortmund sudah menyatakan bahawa mereka tidak akan melayani sebarang tawaran terhadap penggempur -- yang akan berusia 21 tahun itu pada Julai depan -- dalam jendela perpindahan musim panas depan tetapi Raiola tetap berkeyakinan: "Sekarang mari kita lihat apakah hasrat itu masih boleh dipertahankan hingga 1 September."

Menurutnya lagi: "Dortmund telah menyatakan pendirian rasmi.

"Tetapi saya memiliki pandangan lain, saya fikir jika ada peluang baik muncul dan mampu memuaskan hati semua pihak, maka kami akan mengadakan rundingannya."