Dua pemain Sabah, Rahman Shah Marajeh dan Masxsius Musa, berazam membalas kepercayaan pengendali, Jelius Ating, andai diturunkan menentang Negeri Sembilan dalam aksi kedua suku akhir Piala FA di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam ini.

Rahman merupakan penyerang tempatan yang menggantikan posisi pemain import, Jonathan Behe, yang direhatkan ekoran gagal mempamerkan aksi konsisten beberapa perlawanan sebelum ini.

Ia satu penghormatan buat pemain berusia 21 tahun itu dan dia berazam untuk membantu Sabah melayakkan diri ke peringkat separuh akhir.

Mengakui barisan pertahanan Negeri Sembilan sukar untuk ditembusi, Rahman kekal berkobar-kobar untuk merobek gawang lawan sebagaimana dilakukannya ketika menjaringkan gol berdepan Kuantan FA dalam saingan Liga Perdana tempoh hari.

"Masih ada 90 minit, saya tidak tahu apa yang akan berlaku tetapi saya berikan segala-galanya untuk membantu negeri saya sendiri," ujar Rahman.

Seorang lagi pemain tempatan yang diberikan kepercayaan ialah Masxsius yang beraksi di posisi sayap kanan.

Seperti Rahman, dia turut menjaringkan satu gol ketika menentang Kuantan FA, justeru memberi keyakinan buat pemain yang berasal dari Keningau ini apabila dijangka diturunkan oleh Jelius.

Maxsius menggantikan posisi pemain import, Sofiane Choubani, yang turut gagal memuaskan hati Jelius.

"Keyakinan itu memang besar selepas diserapkan dalam kesebelasan utama. Saya rasa mungkin malam ini akan diturunkan," kata Masxsius.