Nama Juan Bernat, Sergio Rico atau Rafinha tercicir dalam 25 senarai nama Paris Saint-Germain (PSG) untuk menghadapi kempen Liga Juara-Juara (UCL) musim ini.

Kelab gergasi Perancis itu membuat beberapa penambahanbaikan yang luar biasa baru-baru ini apabila menandatangani Achraf Hakimi, Georginio Wijnaldum, Gianluigi Donnarumma, Sergio Ramos dan Lionel Messi, sebelum menyambar khidmat pertahanan, Nuno Mendes, pada hari terakhir dalam jendela perpindahan, Rabu lalu.

Jaguh Ligue 1 itu juga dilaporkan telah menolak tiga tawaran Real Madrid ke atas Kylian Mbappe. Malah, PSG tidak tergoda dengan tawaran terakhir bernilai €200 juta (RM985.5j) daripada wakil LaLiga itu.

Faktor utama tekad mereka adalah untuk memenangi UCL.

Thomas Tuchel membimbing PSG ke final pada 2020 sebelum Mauricio Pochettino menyaksikan pasukannya terkandas dalam separuh akhir selepas tewas kepada Manchester City musim lalu.

Tetapi dengan gandingan Mbappe, Messi dan Neymar di jentera serangan, kelab dari Paris itu secara tidak langsung diangkat sebagai pencabar utama bagi menamatkan penantian mereka mengecapi kegemilangan Eropah.




PSG diundi dalam Kumpulan A bersama Manchester City, RB Leipzig dan Club Brugge.

Bernat -- merupakan pemain utama di bawah Tuchel tetapi tersisih hampir sepanjang musim lalu akibat kecederaan lutut yang parah -- dan perlu bersaing merebut tempat bek kiri dengan Layvin Kurzawa, Mendes serta Abdou Diallo.

Penjaga gol, Rico, juga gagal menempatkan diri sementara Donnarumma mengambil tempat sebagai salah satu daripada empat penjaga gol.

Begitu juga bekas pemain tengah Barcelona, ​​Rafinha, yang pada satu ketika kelihatan bersedia untuk berpindah sebelum tarikh akhir.

Messi, Neymar dan Mbappe mengetuai senarai pilihan penyerang yang merangkumi Mauro Icardi dan Angel Di Maria.

PSG memasukkan lapan pemain muda sebagai simpanan untuk menjadikan jumlah keseluruhan menjadi 33 orang.

Ramos yang belum tampil sejak meninggalkan Madrid dijangka akan kembali beraksi bulan ini sambil
PSG bakal memulakan kempen UCL menentang Brugge pada 16 September depan.