Rafael Leao menjaringkan gol terpantas dalam sejarah Serie A ketika membantu AC Milan menewaskan Sassuolo 2-1 malam tadi -- menemui sasaran hanya selepas enam saat perlawanan dimulakan.

Penyerang itu membuktikan ketajaman sentuhannya selepas Brahim Diaz melakukan sepak mula ke arah Hakan Calhanoglu, yang kemudian berlari pantas ke arah kawasan penalti Sassuolo.

Calhanoglu melakukan hantaran yang dirembat kencang Leao untuk memberikan jaringan awal yang mengejutkan pasukan tuan rumah itu.

Milan memulakan perlawanan itu selaku pendahulu Serie A musim ini dengan rekod tanpa kalah.

Sassuolo langsung tidak dapat menyentuh bola sebelum jaringan Leao, yang dilihat telah dirancang kemas sebelum sepak mula perlawanan itu.

Opta mengesahkan bahawa jaringan itu merupakan gol terpantas dalam sejarah Serie A selepas memecahkan rekod lapan saat yang dilakukan Paolo Poggi ketika mewakili Piacenza menentang Fiorentina pada 2001.

Jaringan Calhanoglu pada minit kesembilan dibatalkan pengadil tetapi skuad kendalian Stefano Pioli itu tetap menggandakan jaringan mereka menerusi Alexis Saelemaekers pada minit ke-26.