Pertahanan Kelantan, Mohd Qayyum Marjoni Sabil, yakin dapat menyahut cabaran ketua jurulatih The Red Warriors (TRW), Zahasmi Ismail, supaya sentiasa fokus dan tidak membenarkan penyerang lawan mendapatkan gol awal dalam menghadapi perlawanan sukar menentang Felda United di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, malam ini.

Benteng pertahanan Kelantan dikritik hebat penyokong sendiri apabila mudah hilang fokus dan dalam empat pertemuan terakhir, melepaskan jaringan awal kepada penyerang pasukan lawan sehingga menyebabkan TRW gagal bangkit.

“Kami akui kelemahan itu (melepaskan jaringan awal) dalam empat aksi terakhir Kelantan.

"Untuk perlawanan menentang Felda United malam ini, kami berjanji akan kekal fokus dan tidak melakukan kesilapan mudah yang boleh menyebabkan penyerang lawan menjaringkan gol.

“Dalam sesi latihan terakhir (petang semalam), ketua jurulatih (Zahasmi Ismail) sentiasa mengingatkan kami supaya meningkatkan komunikasi antara satu sama lain dan sentiasa menutup ruang kepada penyerang Felda United semasa mereka melakukan asakan,” katanya.

Mohd Qayyum yang juga bekas ketua pasukan Piala Presiden Kelantan mengakui ketiadaan pemain berpengalaman, Indra Putra Mahayuddin, sedikit-sebanyak menjejaskan barisan tengah TRW tetapi yakin pemain gantian yang bakal diturunkan mampu mempamerkan aksi terbaik di gelanggang sendiri.

“Selepas kehilangan Piya (Mohd Badri Radzi) dan Apek (Khairul Fahmi Che Mat), kami terpaksa melupakan khidmat pemain paling berpengalaman, Indra Putra, akibat penggantungan satu perlawanan.

“Inilah bola sepak dan kami perlu sentiasa bersedia dengan sebarang kemungkinan. Kami perlu mencari mata penuh kerana kedudukan TRW dalam Liga Super masih belum selamat."

Ditanya pemain Felda yang perlu diberi kawalan ketat, Qayyum menyifatkan penyerang, Thiago Augusto Fernandes dan Ifedayo Olusegun, mampu menjadi duri dalam daging kepada TRW jika dibiarkan bergerak bebas.

“Jangan lupa sentuhan Mat Yo (Norshahrul Idlan Talaha) dan Zah Rahan Krangar yang cukup menjadi sejak akhir-akhir ini,” katanya lagi.

Kelantan perlu mencipta kemenangan malam ini ke atas Felda United untuk terus mengelak daripada berada dalam zon penyingkiran ke Liga Perdana, musim depan.

Untuk rekod, TRW kini berada di tangga kesembilan carta Liga Super dengan 17 mata hasil daripada enam kemenangan, dua kali seri dan 10 kekalahan daripada 18 perlawanan.