Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mengesahkan Qatar akan menganjurkan Piala Dunia Kelab bagi edisi 2019 dan 2020 sebelum pertandingan itu dirombak.

Pemenang Liga Juara-Juara (UCL), Liverpool, menjadi salah sebuah pasukan yang bakal bersaing merebut gelaran tersebut dalam kejohanan yang dijangka dipertandingkan Disember depan.

Dua kejohanan itu akan menjadi pemanas badan acara Piala Dunia 2022 yang turut dianjurkan Qatar.

Kejohanan terbesar dunia itu akan dipertandingkan dalam bulan November dan Disember untuk mengelak daripada suhu yang terlalu ekstrem pada musim panas di negara Teluk itu.

Mesyuarat Majlis FIFA seterusnya akan membincangkan tuan rumah Piala Dunia Kelab 2021 apabila kejohanan itu akan dikembangkan kepada kejohanan 24 pasukan.

Real Madrid memenangi tiga edisi saingan tersebut dan tiada kelab di luar Sepanyol menjulang trofi itu sejak Bayern Munich pada 2013.