Christian Pulisic kembali ke Chelsea selepas menarik diri daripada skuad Amerika Syarikat (AS) sempena perlawanan persahabatan menentang Wales dan Panama.

Pemain berusia 22 tahun itu dipanggil melaporkan diri bersama pasukan kebangsaannya walaupun sudah tidak beraksi untuk The Blues sejak 28 Oktober lalu akibat masalah hamstring yang dialaminya ketika bertemu Burnley dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).

Namun, Pulisic dianggap belum cukup cergas untuk berdepan Wales di Swansea, awal pagi esok, manakala Panama di Austria, awal pagi Selasa depan, dan sah diketepikan.

Bercakap dalam sidang berita sebelum perlawanan, pengurus Amerika Syarikat, Gregg Berhalter, berkata: "Christian merupakan sebahagian daripada pasukan ini.

"Dia mengalami kecederaan tetapi dia benar-benar mahu ke mari, berada di sekitar pasukan dan terus menjadi pemimpin pasukan ini."




Pulisic tampil lima kali buat Chelsea musim ini sebelum dilanda kecederaan di sebalik sempat meledak gol dalam perlawanan terakhirnya ketika menang 4-0 ke atas Krasnodar dalam kempen Liga Juara-Juara (UCL).

Dia masih belum mencetak gol mahupun mencipta bantuan jaringan ketika diketengahkan dalam tiga perlawanan EPL selain hanya sekali mnencipta peluang menarik dalam permainan terbuka.

Ketika ditanya apakah Pulisic sempat cergas ketika Chelsea bertandang ke Newcastle United pada 21 November depan, Berhalter berkata: "Sukar untuk membuat spekulasi."

AS merakamkan sembilan gol dan bolos sekali dalam tiga perlawanan terakhir tetapi hanya sekali mengecapi kemenangan ketika berdepan England, Wales, Ireland Utara mahupun Scotland, iaitu pada Mei 2012 dengan agregat 1-5.