Christian Pulisic akan mengalu-alukan muka baru di Chelsea walaupun ia meningkatkan persaingan merebut kesebelasan utama di Stamford Bridge.

Penyerang Amerika Syarikat (AS) itu menjadi pemain terakhir yang ditandatangani Chelsea tetapi setelah hukuman sekatan perpindahan ke atas kelab berkenaan dikurangkan ekoran rayuan, mereka dilaporkan bersedia untuk berbelanja dalam jendela bulan ini.

Jadon Sancho dan Wilfried Zaha, yang juga boleh bermain di bahagian sayap, dikatakan menjadi antara sasaran The Blues tatkala mereka berusaha untuk menambahkan pilihan pemain kepada skuad bimbingan Frank Lampard itu.

Pulisic, yang telah menyumbat lima gol dalam 16 penampilan (Liga Perdana Inggeris) sejak dari Borussia Dortmund, tidak gusar tentang prospek baru di Chelsea.

"Adalah menjadi perkara biasa apabila pasukan mencari jalan untuk memperbaiki pasukan dan jika pemain baru masuk, ia akan mewujudkan persaingan, memang itulah caranya," katanya kepada pemberita.

"Jadi, kami akan bersedia untuk menghadapinya selain berharap akan ada pemain yang dibawa masuk dan mahu membantu kami."

Pulisic berkata demikian selepas Chelsea terus mempamerkan prestasi tidak menentu ketika seri 1-1 di Brighton & Hove Albion untuk memulakan tahun 2020 dengan langkah kanan.

The Blues hanya menang dua kali daripada enam perlawanan terakhir liga untuk berada di tangga keempat meskipun penampilan mereka agak goyah.

Pulisic berasakan sentuhan kurang berbisa merupakan faktor ketika mereka diikat Brighton yang menyaksikan Alireza Jahanbakhsh meledak gol penyamaan hebat menerusi sepakan gunting.

"(Ia mengenai) aspek klinikal, pengalaman dan mengetahui cara menguruskan permainan," tambahnya.

"Pada separuh masa kedua, kami berkata bahawa kami berpeluang untuk membunuh permainan ini, namun tidak mampu melakukannya. Kami gagal mendapatkan gol dan pada akhirnya, mereka meraih jaringan yang luar biasa.

"Kami perlu tingkatkan sedikit usaha untuk meneruskan kemaraan, menyerang dan mencipta peluang dan mempunyai naluri membunuh. Itu sahaja yang kami kekurangan ketika ini.

"Saya juga perlu melakukan yang lebih baik lagi dalam kawasan lawan, mengenal pasti hantaran atau rembatan yang tepat bagi mencetak gol."



Editor: Shaiful Shamsudin